Search This Blog

Monday, February 25, 2013

Produk kecantikan bernilai RM61,500 dirampas



KOTA BHARU 25 Feb. - Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Negeri Kelantan merampas pelbagai produk kecantikan tidak berdaftar bernilai RM61,500 dalam satu serbuan di Taman Lati, Pasir Mas semalam.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, serbuan dilakukan oleh tujuh pegawai penguat kuasa farmasi diketuai Nik Muhibul Fikry Nik Mohamad, kira-kira pukul 9.30 pagi selepas mengintip selama dua minggu di kawasan berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas premis milik seorang lelaki berusia 29 tahun itu menemui 41 produk kecantikan tidak berdaftar seperti vitamin C, glutathione, hormon dan sebagainya.
"Semua barangan ini akan ditahan untuk tujuan siasatan lanjut dan seterusnya tindakan pendakwaan di mahkamah.
"Kes tersebut akan disiasat dan didakwa di bawah Peraturan 7(1) (A) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum bawah seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Selain itu, lelaki ini turut aktif menggunakan blog, Facebook dan Twitter untuk mempromosi produk vitamin C tidak berdaftar dan produk lain untuk pelanggan di seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130225/je_07/Produk-kecantikan-bernilai-RM61500-dirampas#ixzz2LvNdi8TS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment