Search This Blog

Saturday, February 9, 2013

Polis siasat saudara baru diabai suami



Gombak: Polis akan melakukan siasatan menyeluruh termasuk mengambil keterangan pihak berkaitan berhubung kejadian menimpa Agnes Abdullah, 36, saudara baru yang mendakwa diabaikan suaminya sehingga menanggung hutang berjumlah RM2 juta.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, berdasarkan beberapa laporan yang dibuat mangsa sebelum ini, termasuk dakwaan dia dipukul suaminya akan diteliti bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.


Katanya, siasatan awal polis mendapati tidak wujud sebarang kes jenayah, namun siasatan lanjut dilakukan berdasarkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) yang diterima Agnes daripada Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang sebelum ini.

“Kami akan memanggil pengadu sekali lagi untuk rakaman percakapan termasuk suaminya dan polis akan mendapatkan beberapa agensi berkaitan seperti pejabat agama daerah untuk mendapatkan butiran bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Agnes bersama wakil Harian Metro di pejabatnya, semalam. Abdul Rahim berkata, selanjutnya, pihaknya akan memanjangkan perkara itu kepada pihak berkaitan bagi membantu ahli perniagaan itu mendapatkan IPO lanjutan dari mahkamah jika mendapati terdapat asas dalam laporan polis dibuatnya. Muka depan Harian Metro semalam melaporkan Agnes, 36 kini tenggelam punca selepas hasratnya membina hidup berkeluarga sebagai saudara baru tidak menjadi kenyataan apabila dia kini menanggung beban hutang RM2 juta.


Selain itu, dia berdepan kemungkinan diisytihar muflis berikutan semua hutang berkenaan menggunakan namanya menyebabkan dia yang menjadi buruan institusi kewangan.


Dalam pada itu, Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut membantu mendapatkan semula salinan sijil nikah Agnes dan suaminya sebagai asas untuk urusan berkaitan lain.

No comments:

Post a Comment