Polis cari mayat dalam laut
Info Grafik: Polis kesan mayat juruteknik dibuang ke laut
SHAH ALAM - Polis masih mengesan mayat seorang juruteknik yang dibuang ke laut di jambatan Pulau Indah sejak dilaporkan hilang pada 29 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya belum dapat memastikan sama ada benar mayat lelaki berusia 36 tahun itu dibuang di lokasi tersebut.

Beliau berkata, gerakan mencari dimulakan 8 Februari lalu selepas polis memberkas lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, 10 anggota, empat daripada unit skuba, ditugaskan dalam operasi mencari di sekitar perairan Pulau Indah.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan sebuah bot marin dan sebuah sampan penduduk tempatan.

Dalam kejadian pada 1 Februari itu, polis menemui rangka tanpa tengkorak di tempat duduk hadapan kereta Proton Waja yang musnah terbakar di Alam Impian, Seksyen 35.

Siasatan polis mengesahkan pemandu kereta dibunuh dan mungkin mayatnya dipotong sebelum dibuang dalam laut.

Lima lelaki, berusia 18 hingga 35 tahun, kemudiannya ditahan di Taman Sentosa dan Taman Sentosa Perdana, Klang.

Polis merampas beberapa dokumen, telefon bimbit dan pakaian mangsa yang disimpan suspek.

Polis turut menemui kesan darah di tapak pembinaan di Jalan Laksamana, Taman Sentosa, yang dipercayai lokasi mangsa dibunuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya masih menunggu laporan ujian DNA berhubung penemuan tulang dalam kereta tersebut.

“Kita sudah merakamkan beberapa keterangan, termasuk daripada abang ipar mangsa,” katanya.