Saad
Saad (kiri) bersama Ahmad menunjukkan Sungai Plentong yang dikorek di dalam kawasan tanah miliknya.
PASIR GUDANG – Dua pesara polis mendakwa tanah kurnia seluas 0.4 hektar di Taman Saujana Plentong, di sini, diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjalankan aktiviti mengorek Sungai Plentong.

Saad Awang, 84, mendakwa, arah aliran sungai itu pada asalnya tidak termasuk dalam tanah miliknya, namun terkejut apabila dikorek, ia menghala ke dalam kawasan tanah miliknya tanpa sebarang persetujuan.

Menurutnya, meskipun perkara itu berlarutan sejak lima tahun lalu, namun perasaan terkilan masih terbuku di hati kerana tindakan pihak berkenaan seolah-olah membelakangkan pemilik tanah.

“Tanah asal saya tak ada sungai, tapi saya tak tahu apa motif sebenar pihak bertanggungjawab mengalihkan arah aliran sungai ke dalam kawasan tanah saya tanpa sebarang perbincangan.

“Saya kecewa dan tak puas hati pihak berkenaan menceroboh tanah saya, sedangkan cukai harta dan cukai tanah dibayar secara tahunan untuk keluasan tanah satu ekar (0.4 hektar),” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, Ahmad Abas, 85, berkata, pihak berkenaan seolah-olah lepas tangan dalam perkara itu kerana mereka tidak pernah tampil untuk membayar sebarang ganti rugi.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu membawa perkara itu sehingga ke mahkamah, sebaliknya mahu diselesaikan secara baik.

“Kita tinggal di sini sudah 24 tahun, mereka ceroboh tanah kita tanpa sebarang perbincangan, tapi kita tak pernah dihubungi pihak berkenaan untuk pemberian sebarang ganti rugi.

“Kalau sampai pasang ‘lawyer’ tu dah jalan kasar. Kalau boleh kita nak selesaikan cara baik, tapi sampai sekarang berlarutan masih belum ada jalan penyelesaian,” katanya.