Search This Blog

Monday, February 18, 2013

Pernah disimbah sup panas, dikejar anjing


Kuala Lumpur: “Dikejar anjing, diugut dengan parang dan disimbah sup panas antara pengalaman mencabar pernah dilalui sepanjang enam tahun bertugas sebagai pengutip hutang pinjaman.

“Namun, semua itu tidak sedikit pun melunturkan semangat untuk terus bekerja kerana gembira melihat ramai usahawan kecil berjaya hasil pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).” Demikian pengalaman yang dikongsi pegawai TEKUN Mohd Nizam Jamaluddin, 28, yang ditugaskan memungut bayaran daripada usahawan kecil yang membuat pinjaman di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, di sini sejak 2007.


Menurutnya, kejujuran, tahap kesabaran tinggi dan budi bicara yang berhemah adalah tiga inti pati terpenting perlu dimiliki setiap pegawai sepertinya bagi menjamin kelancaran tugas berurusan dengan pelbagai kerenah usahawan.

“Bukan mudah kutip hutang, sebab itu saya perlu mempunyai kemahiran tertentu yang menuntut banyak kesabaran, setakat dimarah itu perkara biasa kerana saya pernah dikejar anjing, diugut dengan parang dan disimbah sup ketika mengutip hutang,” katanya.


“Namun, saya tidak sedikitpun marah kerana faham masalah dan tekanan yang dihadapi peminjam dan terus menerangkan bayaran semula itu penting untuk diberikan pula kepada lebih ramai usahawan kecil yang memerlukan,” katanya.


Mohd Nizam berkata, kes sebegitu bagaimanapun hanya membabitkan segelintir usahawan kecil dan kebanyakan mereka tidak mempunyai masalah melunaskan ansuran.

Menurutnya, bagi kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, dia ditugaskan mengutip bayaran daripada kira-kira 650 peminjam dengan purata setiap hari bertemu dengan 15 hingga 20 usahawan kecil.


“Ada ramai juga peminjam menghubungi saya mengingatkan tarikh untuk datang mengambil bayaran TEKUN.

“Disebabkan rekod bayaran yang baik, ada usahawan kecil ini berjaya mendapat tiga kali pinjaman secara berperingkat bermula dengan kedai yang sekangkang kera sehinggalah asetnya kini bernilai lebih RM300,000,” katanya.


Membawa wang tunai yang banyak setiap hari iaitu antara RM2,000 hingga RM4,000, menyebabkan tugasnya itu terdedah juga kepada bahaya ragut dan rompakan. “Namun jika kita mengambil langkah pencegahan yang betul, penjenayah tidak akan mempunyai ruang dan peluang untuk melakukan jenayah,” katanya.

No comments:

Post a Comment