Search This Blog

Monday, February 18, 2013

Penyangak lagak konon ejen komputer riba 1Malaysia



Petaling Jaya: Akibat teringin memiliki perisian komputer terkini, seorang pelajar bukan saja kerugian wang RM300, malah komputer ribanya juga lesap dilarikan seorang lelaki yang mendakwa sebagai ejen komputer riba 1Malaysia, baru-baru ini.

Pelajar berusia 21 tahun itu didatangi lelaki terbabit ketika berada di rumahnya di Damansara Damai, di sini, kononnya untuk mengedarkan komputer riba 1Malaysia kepada individu yang layak, kira-kira jam 12.30 tengah hari.


Menurut sumber, selepas mendapatkan maklumat mengenai isi rumah mangsa, lelaki terbabit memaklumkan bahawa adik mangsa juga layak mendapat komputer riba bantuan itu dan turut dikehendaki mengisi borang permohonan.

“Lelaki terbabit turut memberitahu komputer riba akan dihantar ke rumah mereka melalui pos sebaik permohonan diproses.


“Namun, komputer riba itu tidak dilengkapi perisian dan penerima perlu membayar RM300 untuk menambah perisian itu,” katanya.


Katanya, mangsa bersetuju menambah perisian dan membayar wang itu sebelum diberikan resit beralamat sebuah kedai menjual alat telekomunikasi di ibu negara.

“Lelaki itu meminta untuk memeriksa komputer riba milik mangsa sebelum memaklumkan bahawa perisian dalam gajet itu adalah versi lama.


“Dia kemudian menawarkan untuk memasang perisian versi baru secara percuma. Tetapi, dia perlu mengambil komputer riba itu untuk dibawa ke kedai,” katanya.

Sumber berkata, mangsa menyerahkan komputer ribanya itu selepas percaya dengan kata-kata lelaki terbabit yang berjanji memasang perisian tanpa sebarang bayaran selain akan memulangkannya pada jam 2 petang.


“Pada tempoh yang dijanjikan, mangsa menghubungi lelaki terbabit namun telefon bimbitnya tidak dijawab.


“Selepas beberapa hari masih gagal menghubungi lelaki terbabit, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara,” katanya.

No comments:

Post a Comment