Search This Blog

Monday, February 25, 2013

Peniaga ditipu RM500 beli kereta terpakai menerusi laman web




25 Februari 2013
KUANTAN - Seorang peniaga kerugian RM500 selepas diperdaya dalam urusan pembelian kereta terpakai menerusi laman web, Jumaat lalu.
 
Mangsa, 30, yang menetap di sebuah taman perumahan di Raub dikatakan melayari laman web berkenaan bagi membeli sebuah kereta terpakai jenis Perodua Kelisa yang ditawarkan dengan harga RM10,500.
 
Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Samsudin Wan Osman berkata, tertarik dengan tawaran itu, mangsa menghubungi pemilik kenderaan di Kuala Lumpur sebelum diminta membayar wang pendahuluan RM500 menerusi mesin deposit sebuah bank di Raub.
 
"Selepas membayar wang pendahuluan, mangsa kemudian menaiki bas ekspres untuk ke Kuala Lumpur selepas suspek memberitahu akan menunggu di Stesen Perhentian Bas Pekeliling di Jalan Pahang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
 
Katanya, sebaik tiba di Kuala Lumpur, mangsa kemudian menghubungi suspek terbabit namun hingga semalam, suspek berkenaan masih gagal dihubungi sebelum mangsa menyedari ditipu dan membuat laporan di Balai Polis Raub.
 
Wan Samsuddin berkata, polis kini mengesan lelaki yang mendakwa pemilik kenderaan yang hendak dijual itu.
 
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment