Pengedar dadah tak jadi nikah
Antara barangan yang dirampas daripada suspek.
Pengedar dadah tak jadi nikah
Ketua Balai Polis Padang Serai, Sarjan Mejar R Soundarajan (tengah) melihat dadah serta senjata yang dirampas dari suspek.
PADANG SERAI - Hasrat seorang lelaki berusia 27 tahun melangsungkan pernikahan pada 23 Mac ini musnah apabila dia ditahan Unit Task Force bersama Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Padang Serai petang kelmarin.

Lelaki berkenaan disyaki terlibat aktif dalam pengedar dadah di sekitar Padang Serai.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 itu, polis sedang membuat pemeriksaan rambang diketuai Inspektor Nor Faizal Mohamad terhadap semua pengguna jalan raya.

Menurutnya, suspek yang memberhentikan motosikalnya beberapa meter dari tempat pemeriksaan  polis dilihat cuba berpatah balik dan melawan arus.

“Melihatkan perlakuan suspek mencurigakan, polis mengejar suspek yang melarikan diri di sekitar Taman Ria sebelum memberhentikan motosikalnya di hadapan pasar raya.

"Suspek kemudiannya masuk ke dalam pasar raya itu sebelum kita mengepung sekitar kawasan pasar raya dan menemui suspek menyorok di bawah tangga," katanya.

Ghuzlan berkata, melalui pemeriksaan dijalankan, pihaknya menemui peralatan alat ganti motosikal yang diubah suai menjadi senjata, lima paket lut sinar mengandungi bahan ketulan putih di percayai dadah, lebih 40 paket kecil dipercayai dadah dan pisau.

Menurutnya, suspek kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim (IPD) sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Sementara itu, katanya, pihaknya akan membuat pemantauan terutama di taman perumahan yang berisiko tinggi.

"Sehingga kini Task Force dan CPJ berjaya mematahkan cubaan serta perlakuan jenayah di kawasan berisiko.

"Kerjasama orang ramai antara faktor polis berjaya memberkas dan menahan suspek terlibat," katanya.