Pasukan forensik
Pasukan forensik melakukan siasatan ke atas mayat mangsa di lokasi kejadian.
MARAN - Polis mencari dua lelaki warga Indonesia bernama Yusin dan Andy bagi membantu siasatan kes seorang wanita yang dijumpai mati di paya sebuah kebun getah dekat Felda Bukit Tajau, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kedua lelaki dalam lingkungan usia 30-an itu juga dipercayai pendatang tanpa izin dan merupakan individu yang difahamkan ingin ditemui mangsa di kawasan kebun getah berkenaan.

Menurutnya, mangsa berusia 58 tahun itu dijumpai dengan kesan lebam di seluruh badan dipercayai mati akibat dibunuh.

“Mangsa keluar dari rumah pada jam 8.30 pagi untuk bertemu kedua-dua lelaki ini bagi menunjukkan kawasan kebun getah yang ingin dipajak.

“Anak mangsa yang risau selepas ibunya tidak pulang meminta bantuan penduduk untuk mencari di kawasan tersebut.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan meminta orang ramai menghubungi pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan seorang ibu tunggal ditemui mati di kawasan paya kebun getahnya selepas 10 jam keluar dari rumah.

Sementara itu, dalam kes berasingan berhubung kematian seorang wanita warga emas yang mati terbakar di Felda Ulu Jempol pada Jumaat lalu,Sulaiman mengesahkan kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur jenayah.

Katanya, punca kebakaran yang membawa kepada kematian mangsa masih dalam siasatan.