Search This Blog

Saturday, February 9, 2013

Pakar curi motor tumpas



Teluk Intan: Seorang pakar curi motosikal yang bergiat aktif mencuri motosikal di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak diberkas polis di Jalan Changkat Jong di sini, selepas dikesan menyembunyikan 11 motosikal dicuri di dalam kebun kelapa sawit berhampiran.

Dalam operasi ‘Ops Lejang’ jam 3 petang kelmarin, suspek yang berusia 30-an diberkas sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan anggota Balai Polis Teluk Intan diketuai Inspektor Norzanual Ahmad.


Timbalan Ketua Polis daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes kehilangan motosikal yang sering berlaku di sekitar daerah itu.



“Susulan laporan dibuat mangsa sebelum ini, kami melakukan intipan di ladang kelapa sawit di kawasan pedalaman Changkat Jong dan hasilnya 11 motosikal pelbagai model ditemui semula manakala seorang suspek ditahan untuk siasatan. “Pemeriksaan mendapati beberapa motosikal yang ditemui itu pernah dilaporkan hilang oleh pemiliknya di beberapa balai polis di Balai Polis Hutan Melintang, Balai Polis Teluk Intan, Balai Polis Slim River di Perak, Balai Polis Sungai Way, Balai Polis Sungai Besar dan Balai Polis Sea Park di Selangor serta Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur,” katanya, semalam.


Berikutan itu, Zaki menggesa majikan mengambil inisiatif memantau pergerakan dalam ladang atau premis milik mereka selain memberi kerjasama kepada polis untuk menangani masalah kecurian motosikal.


Beliau berkata, motosikal curi banyak digunakan penjenayah untuk melakukan jenayah lain seperti ragut dan samun.

No comments:

Post a Comment