Anoushka
Anoushka mendedahkan pengalamannya ketika kemarahan berhubung kes rogol melibatkan penuntut 23 tahun di India belum reda. - Foto ihsan ndtv.com
NEW DELHI - Ketika kemarahan berhubung insiden rogol melibatkan seorang penuntut masih belum reda, Anoushka Shankar, ahli muzik dan anak kepada Ravi Shankar, legenda sitar negara itu, mengakui bahawa dia  juga pernah mengalami gangguan seksual ketika masih kecil.
Anoushka yang kini berusia 31 tahun berkata, dia telah menjadi mangsa perbuatan seorang yang dipercayai oleh ibu bapanya.
Dia membuat pengakuan itu menerusi klip video kempen global menentang keganasan ke atas wanita.
Menerusi Kempen One Billion Rising, Anoushka menyeru satu bilion orang, tidak kira jantina agar bangun berkempen untuk menghentikan keganasan. Kempen itu dilancarkan menerusi laman web Change.org.
Anoushka dipetik berkata dia pernah menderita kerana "diraba, disentuh dan penganiayaan verbal."
"Ketika kanak-kanak, saya menderita kerana penganiayaan seksual dan emosi selama beberapa tahun di tangan seorang yang ibu bapa saya meletakkan kepercayaan," katanya lagi.
Dalam klip yang dirakamkan di London, Anoushka merayu orang ramai menyokong kempen bagi memperingati penuntut berusia 23 tahun yang dirogol dalam sebuah bas yang bergerak dan dicampak keluar.
Mangsa meninggal dunia di Singapura ketika menerima rawatan. Kes itu yang melibatkan enam orang termasuk seorang yang bawah umur kini didengar di mahkamah khas.
Dia yang membesar di London, Delhi dan California, mula mendalami muzik sitar ketika berusia sembilan tahun.
Ravi, 92, meninggal dunia di California Disember lalu.