Mazlan
Mazlan menunjukkan tangannya yang cedera dipukul racik ayam.
ALOR GAJAH - Gara-gara menegur seorang penduduk berdeka-tan, seorang lelaki cedera dilibas racik ayam dalam kejadian sekitar Durian Tunggal, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa, Mazlan Abdul Rahim, 28, pada mulanya berasa curiga sebelum menegur lelaki berusia 46 tahun yang kelihatan berlegar-legar di kawasan rumahnya.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa mengambil racik yang ditanamnya kira-kira  jam1 pagi sebelum datang semula kira-kira jam 7.30 pagi untuk mengambil semula racik berkenaan.

"Ketika itu, saya baru pulang dari bekerja di sebuah kilang di Batu Berendam manakala isteri saya hendak ke tempat kerja di Ayer Keroh.

"Saya bertanyakan kehadiran lelaki itu di kawasan rumah saya sebelum dilibas dengan racik dan terkena pada lengan serta kepala saya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mazlan berkata, pergaduhan dileraikan kira-kira 20 minit kemudian selepas beberapa ahli keluarga dan jiran membantu sebelum lelaki itu dibawa ke Balai Polis Durian Tunggal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Susulan kejadian, katanya, lelaki terbabit ditahan bersama racik dipercayai digunakan untuk menjerat ayam yang didakwa terlepas.

“Lelaki berkenaan ditahan kira-kira  jam 12 tengah hari pada hari sama untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.