Search This Blog

Wednesday, February 13, 2013

Operasi kesan mayat juruteknik diteruskan



Shah Alam: Walaupun cebisan mayat seorang lelaki yang dibuang ke laut mungkin menjadi makanan hidupan air masin, polis terus menjalankan operasi mencari bagi mengesan mayat seorang juruteknik yang didakwa dibuang dari jambatan Pulau Indah sejak mangsa dilaporkan hilang 29 Januari lalu.

Ketika dibuang, mayat mangsa dipotong beberapa bahagian namun polis masih menyiasat dakwaan berkenaan dengan mencari sisa tulang mangsa yang dapat menjadikan dakwaan itu sebagai bukti sahih.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, sehingga kini pihaknya belum dapat memastikan sama ada mayat lelaki berusia 36 tahun itu dibuang di situ atau kawasan lain.

“Persoalan betul atau tidak, saya tidak dapat beri jawapan, namun berdasarkan siasatan awal, kami mendapat maklumat mayat dibuang di situ, jadi kami akan terus mencari hingga bahagian mayat terbabit ditemui,” katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, gerakan mencari dimulakan sejak 8 Februari lalu selepas polis memberkas lima lelaki yang dipercayai terbabit pembunuhan itu.


Sementara itu, Pegawai Pemerintah Polis Marin Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, 10 anggota termasuk empat dari unit skuba ditugaskan dalam operasi mencari sekitar perairan Pulau Indah.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan sebuah bot marin dan sampan milik penduduk setempat bagi mengesan mayat mangsa.


Dalam kejadian 1 Februari lalu, polis menemui rangka tanpa tengkorak di tempat duduk hadapan kereta Proton Waja yang musnah terbakar di Alam Impian, Seksyen 35.

Siasatan polis mendapati pemandu kereta itu dibunuh dan mayatnya mungkin dipotong sebelum dibuang ke laut.


Kes berkenaan terbongkar selepas lima lelaki, berusia 18 hingga 35 tahun ditahan di Taman Sentosa dan Taman Sentosa Perdana, Klang.


Selain suspek, polis merampas beberapa dokumen, telefon bimbit dan pakaian mangsa. Polis turut menemui kesan darah di tapak pembinaan di Jalan Laksamana, Taman Sentosa yang dipercayai lokasi mangsa dibunuh.

No comments:

Post a Comment