Search This Blog

Monday, February 25, 2013

Operasi cari 4 pemancing hilang di perairan Pahang diperluas




25 Februari 2013
KUANTAN - Operasi mencari dan menyelamat empat pemancing yang dilapor hilang selepas keluar memancing di perairan Pahang 20 Feb lepas, kini diperluas sehingga 30 batu nautika perairan itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata operasi itu kini diperluas sehingga ke sempadan Kuantan-Kemaman dan Tanjung Gemok-Nenasi, Pekan.

"Kami juga tidak menolak kemungkinan bot gentian kaca jenis Yamaha sepanjang 65 meter dengan enjin 60 kuasa kuda yang dinaiki mereka rosak atau mengalami masalah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata operasi itu dijalankan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tentera laut, unit udara polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Jabatan Perikanan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan dibantu oleh Persatuan Nelayan Kuantan serta penduduk kampung.

Empat pemancing itu -- Baheruzaman Yusof, 40, Ayzzat Rahmat Yaakop, 40, Rahmat Chik, 51 dan Karim Zakaria, 41, -- dilapor hilang setelah berlepas dari Jeti Sungai Kuantan di sini dengan menaiki bot gentian kaca fiber kira-kira 7 petang Rabu lepas.

Norezawati Mohamad, 32, isteri seorang daripada pemancing itu berkata ini adalah kali pertama suaminya Azyyat Rahmat keluar ke laut untuk memancing.

"Biasanya dia memancing di sungai sahaja," katanya yang bekerja sebagai pembantu klinik berhampiran Perkampungan Cenderawasih.

Beliau berkata pada petang kejadian, suaminya singgah di klinik untuk mengambil ubat tahan sakit dan menelefonnya kira-kira pukul 6 petang sebelum bertolak.

Fairus Abdul Rahim, 42, pula berkata beliau menghantar suaminya Rahmat, ke jeti itu.

"Biasanya dia keluar memancing dua hari sahaja," katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara 6 bulan dan 17 tahun.

Sementara itu Rabhah Karim, 15, berkata ayahnya menelefonnya sebelum bertolak ke laut dan berpesan agar dia menjaga ibunya, Norfadhilah Mohd Salim, 51, baik-baik.

"Ibu mengalami strok sejak empat tahun lalu dan tidak mampu bergerak sendirian," kata anak tunggal pasangan itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment