Anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran rumah Tipah, semalam.
Anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran rumah Tipah, semalam.
KOTA BHARU - Bau hangit dari arah bilik mengejutkan seorang warga emas ketika tidur menyelamatkan diri daripada rentung dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Pengkalan Chepa, di sini, kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Selain Tipah Husin, 79 turut bernasib baik, menantu, Roslina Che Ibrahim, 40 dan cucunya, Mohd Hazim Abdul Halim, 11 sempat berlari keluar sebelum api marak.

“Ketika bangun makcik meminta tolong, memanggil menantu dan cucu yang ketika itu baru sahaja selesai makan.

“Kami tiga beranak berlari menyelamatkan diri dan meminta pertolongan jiran-jiran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jalan Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Tipah berkata, rumah berkenaan baru sahaja diubahsuai tahun lalu dengan kos RM20,000, manakala kerugian lain pula termasuk barang kemas RM50,000 dan perabot serta anggaran keseluruhan RM200,000.

“Dua kereta jenis Proton Saga dan Honda sempat diselamatkan oleh jiran, namun kami tidak sempat mengambil apa-apa barang di dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai pakaian seragam, KB Selatan Trading, Chang Ah Koon, 40 berkata, tingkat atas bangunan kedainya turut terbakar dan anggaran kerugian dialami RM700,000.

Seramai 24 penyelamat dari empat jentera Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dan Pengkalan Chepa termasuk bomba sukarela terlibat dalam kejadian terbabit.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohamad Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan 3.56 petang dan punca kejadian masih dalam siasatan.