Nenek panik diacu parang
Mek menunjukkan wang tunai RM20 yang diberikan pencuri sebelum meninggalkan rumahnya dan melakonkan semula adegan lehernya diacukan parang saat pencuri menggeledah rumahnya
TANJUNG PIANDANG - Kebiasaannya apabila sesebuah rumah dimasuki pencuri, mereka akan cuba mengambil sebanyak mungkin barangan berharga yang boleh dilarikan bersama tanpa memikirkan nasib mangsa disamun.

Bagaimanapun, kejadian ini berlaku terhadap seorang warga emas di Kampung Parit Tanjung Piandang Tengah, di sini semalam apabila pencuri yang memasuki rumahnya bukan sahaja meninggalkan wang tunai RM20, malah turut memohon mangsa menghalalkan segala barang yang dicurinya.

Mangsa, Mek Ya, 75, berkata, dia pasrah dengan kejadian menimpanya dan menganggap ia ujian ALLAH.

“Namun, saya tidak akan menghalalkan perbuatan pencuri itu. Sudahlah tinggal sebatang kara, sedikit harta yang disimpan untuk menghabiskan sisa-sisa hari tua pun turut dikebas,” katanya.

Dalam kejadian lebih kurang jam 6 pagi semalam, Mek sedang menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dari bilik tidur sebelum merasakan bahunya ditepuk seseorang dari belakang.

Menurutnya, dia terkejut apabila ditampar berkali-kali di bahagian muka sebelumnya lehernya diacukan parang oleh seorang suspek lelaki tidak dikenali sewaktu dia menoleh ke belakang.

“Sejurus ditampar dan diacukan parang, pencuri terbabit meminta saya menyerahkan segala barang berharga termasuk wang tunai dan mengugut akan mengapa-apakan saya sekiranya tidak mahu memberi kerjasama.

“Saya beritahu pencuri itu yang saya tiada wang, tetapi dia tidak puas hati lalu bertindak menggeledah barang dalam rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Tanjung Piandang Tengah, di sini semalam.
Mek berkata, setelah suspek puas menggeledah seluruh rumahnya, suspek akhirnya menemui sejumlah wang tunai berjumlah RM2,000 yang disimpan mangsa di bawah tilam di bilik tidur mangsa.

Menurutnya, suspek segera meletakkan bungkusan wang tunai itu di celah ketika sambil meragut rantai leher milik mangsa yang bernilai RM1,000 sejurus selepas itu.

“Selepas itu, pencuri terbabit turut cuba menarik dan mengeluarkan cincin emas yang saya pakai, tetapi tidak berjaya disebabkan terlalu ketat.

“Saya ada cuba untuk melarikan diri melalui pintu belakang rumah, tetapi sempat ditahan pencuri terbabit yang mengarahkan saya duduk di ruang tamu.

“Sebelum dia pergi, saya ada merayu supaya barang berharga dikembalikan disebabkan hanya itu sahaja harta yang ada. Mungkin sedih dengar rayuan saya, pencuri itu segera menyerahkan duit RM20 dan memohon saya menghalalkan segala barangan yang dicuri,”katanya.

Mek memaklumkan suspek dipercayai orang tempatan berdasarkan bahasa pertuturan yang diucapkan dan mengenal pasti laluan tingkap bilik air digunakan suspek untuk menceroboh rumahnya.

Selain rumahnya, Mek turut mendedahkan pencuri terbabit turut memasuki dua rumah lain di kawasan kampung itu dan melarikan sebuah basikal, telefon bimbit dan wang tunai RM40.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kes dan menegaskan ianya masih dalam siasatan.