Mohd Shukri Dahlan
Datuk Mohd Shukri Dahlan
IPOH – Lebih 50 tetamu yang menghadiri jamuan bagi meraikan kemasukan dalam rumah baru gempar apabila tuan rumah rebah selepas terkena satu das tembakan di kepala ketika sedang melayan tetamu.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa, K Nanthan, 33, cedera parah selepas ditembak oleh salah seorang dari lelaki bertopeng yang menaiki kereta di Arena Kepayang Putra, Fair Park di sini, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, pihaknya mempercayai cubaan bunuh itu bermotifkan dendam.

“Ketika kejadian, mangsa sedang mengadakan majlis ‘house warming’ didatangi sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki bertopeng dipercayai berusia 30-an.

“Suspek telah meluru masuk ke dalam rumah dan terus menembak satu das di bahagian kepala mangsa sebelum melarikan diri. Polis sedang mengenal pasti identiti suspek,” katanya.

Menurutnya, mangsa dilaporkan kritikal tetapi stabil setelah ahli keluarganya membantu membawa mangsa ke wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Polis masih sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.