Search This Blog

Monday, February 18, 2013

Nasi pedas berdarah


thumbnailAkibat berang nasi goreng dimakannya terlalu pedas, seorang lelaki dipercayai tergamak menetak saudara kembarnya sendiri menggunakan sabit dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Tebong, Kuala Sungga di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, mangsa, B Vellakumar, 28, yang memasak nasi goreng parah di kepala dan badan akibat ditetak lelaki berusia 28 tahun itu.


Ketika kejadian, mangsa sedang memasak nasi goreng untuk makan malam di dapur sebelum suspek dikatakan datang menjamah nasi berkenaan.

Dakwa Vellakumar yang juga tukang paip, saudara kembarnya yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol itu masuk ke dapur dan memberitahu perutnya lapar lalu mengambil pinggan sambil bersiul.


“Sebaik selesai masak, dia (suspek) datang ke dapur mengambil pinggan lalu mencedok nasi goreng itu sebelum terdengar dia merungut di luar rumah dan mendakwa nasi berkenaan terlalu pedas.


“Saya bagaimanapun tidak mengendahkannya dan terus menuju ke ruang tamu sambil bersembang dengan abang ipar berusia 27 tahun yang sedang berehat.

“Tidak lama kemudian, dia tiba-tiba menjerit kuat memaklumkan nasi dimasak pedas dan saya terus ke arahnya sambil berkata ‘kalau tak nak pedas, masak sendiri,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.


Menurutnya, suspek yang berang kemudian meluru ke arahnya lalu melibas sabit tepat mengenai kanan kepala selain pipi kiri dan bahu kanannya.

“Belum sempat memalingkan muka ke belakang, dia datang melibas sabit dan menetak di kepala hingga menyebabkan mata berpinar melihat darah mengalir dan gagal mengawal keseimbangan badan.


“Sambil menekup kepala yang cedera, dia dilihat mencampakkan sabit itu di sekitar rumah sebelum melarikan diri meninggalkan saya terbaring menahan kesakitan,” katanya.


Vellakumar berkata, abang iparnya kemudian datang memapah dirinya masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital sebelum pengsan ketika dalam perjalanan.


“Abang ipar yang panik kemudian menghubungi talian kecemasan sebelum ambulans tiba dan membawa saya ke Hospital Tampin sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaffar Seremban (HTJS),” katanya yang kesal dengan tindakan saudara kembarnya itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi berkata, suspek yang bersenjatakan sabit dipercayai menetak mangsa bertubi-tubi sebelum melarikan diri.


“Polis sedang memburu suspek yang dipercayai masih bersembunyi di sekitar daerah ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment