Munirah
Munirah tidak dapat menahan air mata sebaik dapat bertemu dengan emaknya.
Munirah
Abdul Azeez (kiri) menyerahkan dokumen Munirah dan anaknya kepada Mohd Najib (dua, kiri).
Munirah
Abdul Hamid (kiri) dan Robeah (kanan) mencium Munirah (tengah) dan cucu mereka, Mohd Tajul Azeez.
GEORGETOWN - “Tiada kata dapat digambarkan, selain rasa syukur apabila saya dapat kembali mencium dan memeluk emak dan abah setelah tujuh tahun berpisah.”

Itu luahan Munirah Abdul Hamid, 21, yang menghilangkan diri ketika berusia 16 tahun kerana mengikut teman lelakinya yang berasal dari Kepulauan Flores, Indonesia.

Munirah yang dibawa pulang dengan bantuan Umno Bahagian Merbok dan Kelab Putera 1Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.
Sebaik keluar dari balai ketibaan, Munirah terus berlari mendapatkan emaknya sebelum memeluk kaki dan meminta maaf atas kesilapan yang dilakukannya dahulu.

Kepulangan Munirah ditemani suaminya, Mohd Najib Abdullah, 35, dan anak sulungnya, Mohd Tajul Azeez berusia sembilan bulan.

Selain ahli keluarga, turut menunggu kepulangan Munirah di LTAB ialah Presiden Kelab Putera 1 Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Munirah yang ditemui media berkata, menyesal dengan perbuatan lampaunya mengikut teman lelaki yang baru dikenali untuk pergi ke Indonesia.
 
Hampir hilang nyawa

Mengimbau kisah hitam yang berlaku dalam hidupnya, Munirah berkata, pengalaman mengikut lelaki pulang ke negara jiran itu menaiki bot kecil pasti tidak dilupakan kerana hampir kehilangan nyawa apabila teman lelaki itu mengajaknya terjun ke laut setelah bot yang mereka naiki dikesan pihak berkuasa.
“Saya kenal dengan lelaki itu melalui telefon tidak sampai setahun dan dia mengajak saya pulang bersamanya ke Indonesia.

“Saya tidak tahu kenapa dan saya hanya ikut kehendaknya. Saya rasa seolah-olah dipukau,” katanya.

Menurutnya, ketika bot sampai di perairan Johor, pihak berkuasa datang untuk membuat pemeriksaan namun, semua yang berada di atas bot itu bertindak terjun ke laut dan melarikan diri, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Mendapati kanak-kanak itu ditinggalkan kedua ibu bapanya dan hampir lemas, dia terus menyelamatkan dan membawanya berenang sehingga ke Pulau Batam, Indonesia.

“Sebaik tiba di Pulau Batam, saya tinggalkan kanak-kanak itu di Jabatan Imigresen dan terus mencari kerja untuk menyara hidup.
“Saya juga terpisah dengan teman lelaki selepas terjun dari bot yang dinaiki,” katanya.
Namun mereka bertemu kembali di Pulau Batam beberapa bulan kemudian dan teman lelaki itu mengajaknya pulang ke kampung halamannya di Pulau Flores.
 
Hasrat pulang ke pangkuan keluarga
Disebabkan serik meneruskan kehidupan di negara asing, dia menyuarakan hasrat untuk pulang ke pangkuan keluarga dan turut memaklumkan kepada lelaki itu bahawa ayahnya akan datang untuk membawanya pulang.

“Marah dengan tindakan itu, teman lelaki saya merampas telefon bimbit dan membuangnya. Saya tiada pilihan lain kerana tidak ingat nombor telefon keluarga di kampung.

“Sebaik tiba di Pulau Flores, saya ditinggalkan teman lelaki. Buntu mengenangkan nasib, saya membawa diri di sekitar pulau berkenaan sehingga bertemu dengan suami saya sekarang di hospital. Dialah yang banyak membantu saya untuk mencari semula keluarga di kampung,” katanya.

Munirah juga tidak mahu lagi pulang ke Indonesia dan tekad membesarkan anak bersama suaminya di kampung halaman di Kampung Nelayan, Tanjung Dawai, Kedah.

“Saya mahu mulakan hidup baru bersama keluarga di sini dan tidak mahu lagi ingat pengalaman hitam lalu,” katanya.
Sementara itu, kedua ibu bapa Munirah, Abdul Hamid Mat, 51, dan Robeah Hamid, 51, bersyukur apabila mereka dapat bertemu semula dengan Munirah.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kelab Putera 1Malaysia dan Umno Bahagian Merbok kerana membatu membawa pulang Munirah kembali ke pangkuan kami,” katanya.