Search This Blog

Sunday, February 24, 2013

'Munirah akhirnya pulang dari Flores Timur'



SUNGAI PETANI - "Alhamdulillah, kami tidak pernah putus doa dan harapan selain masih percaya bahawa anak masih hidup. Akhirnya doa dan harapan kami termakbul apabila Muni (panggilan manja Munirah) akan dihantar pulang ke Malaysia esok (hari ini)."

Demikian luahan Abdul Hamid Mat, 51, dari Kampung Nelayan, Tanjung Dawai yang bersyukur apabila anak yang dikhabarkan sudah berkahwin dengan pemuda dari Pulau Adonara, Flores Timur, Indonesia itu akan pulang dengan bantuan Umno Bahagian Merbok dan Kelab Putera 1Malaysia.

Menurutnya, kesabaran dan penantian selama tujuh tahun terubat apabila anak yang ‘hilang’ sejak April 2006 akhirnya akan pulang.

Abdul Hamid berkata, Munirah, anak ketiga dari lima beradik, yang kini berusia 23 tahun pernah menghantar surat bertarikh 8 Ogos 2012 memaklumkan kehidupan di sana selain meminta bantuan supaya keluarga mengirimkan wang kerana berhadapan masalah kewangan.

Ketika disedari hilang, Munirah hanya baru berusia 16 tahun menyebabkan keluarganya tidak henti-henti meminta bantuan dari pelbagai pihak yang melancarkan operasi mencarinya.

Ditanya perasaannya, Abdul Hamid mengakui ahli keluarga tidak sabar-sabar menunggu kepulangan Munirah selain ingin menemui anak tunggal Munirah yang dikatakan sudah berusia sembilan bulan.

“Semua adik-beradik akan menanti kepulangan Muni yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas Pulau Pinang jam 10 pagi,” katanya.

Dia berharap, Munirah akan terus menetap di sini dan bersyukur apabila dikhabarkan, suami dan bayi mereka turut ikut serta pulang ke Malaysia.

Sinar Harian 8 September 2011 pernah menyiarkan luahan ibu Munirah, Robeah Hamid, 51, tentang kehilangan anaknya yang tidak pulang ke rumah selepas disedari keluar menaiki bas ke sekolah.

Dalam kenyataan itu, Robeah meminta mana-mana pihak yang menemui Munirah supaya menghubungi keluarga terbabit.

Setahun kemudian, Sinar Harian sekali lagi menyiarkan kisah Munirah pada 25 September 2012 apabila ibu bapa mendakwa menerima sepucuk surat darinya yang beralamat di Pulau Adonara, Flores Timur, Indonesia.

No comments:

Post a Comment