Mengaku tetak mekanik
Nasib Mohd Khaza akan ditentukan pada 11 Mac depan di Mahkamah Sesyen, di sini, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang mekanik.
KUALA TERENGGANU - Nasib seorang lelaki yang tergamak menetak seorang mekanik sehingga cedera parah kerana mangsa gagal membayar hasil jualan kayu yang ditebang dalam kejadian di Kampung Darau, Pasir Akar, Besut, bakal ditentukan pada 11 Mac depan di Mahkamah Sesyen, di sini.

Tarikh berkenaan ditetapkan oleh Mahkamah Majistret, semalam, selepas Mohd Khaza Abdullah, 37, dari Kampung Padang Bual, Pasir Akar, Besut, mengaku bersalah telah menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa, Mohd Faizal Othman, 30.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu pada 4 Januari lalu lebih kurang jam 6.30 petang di kediaman mangsa di Kampung Darau, Pasir Akar, Besut, dengan menggunakan sebilah pedang.

Dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah direkodkan, Abdul Hayyi turut membenarkan Mohd Khaza diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai seorang mekanik cedera parah di beberapa anggota badan setelah ditetak dengan sebilah pedang oleh sekumpulan lelaki, dipercayai kerana mangsa gagal membayar hasil jualan kayu yang ditebang.