Search This Blog

Monday, February 4, 2013

Marah kekasih diusik, buruh ditusuk senjata tajam



Miri: Berpunca daripada jelingan nakal, seorang buruh warga tempatan cedera ditikam di perut dalam satu pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki warga Indonesia di gerai makan berdekatan Kawasan Perindustrian Kuala Baram di sini, kelmarin.

Kejadian jam 12.30 tengah malam itu tercetus ketika mangsa berusia 19 tahun sedang minum di gerai berkenaan bersama teman wanitanya yang berusia lingkungan 20-an.


Turut berada di dalam gerai berkenaan ialah sekumpulan lelaki warga Indonesia yang dikatakan meneguk minuman keras dan salah faham mula tercetus apabila mereka cuba mengusik teman wanita remaja terbabit.

Difahamkan, berlaku pertikaman lidah antara mangsa dengan beberapa orang warga asing berkenaan apabila remaja itu menyedari mereka mengusik sambil menjeling ke arah teman wanitanya.


Menurut sumber, pertengkaran mulut antara mangsa dan kumpulan terbabit sampai ke kemuncaknya apabila warga asing itu tiba-tiba bangkit daripada tempat duduk masing-masing dan menyerang mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai parang dan keris.


Katanya, usaha teman wanita mangsa meleraikan pergaduhan itu gagal apabila dia turut cedera di paha kanan sekali gus menyebabkan beberapa pelanggan lain yang menyaksikan kejadian itu beredar.

“Mangsa parah di perut akibat ditusuk dengan senjata tajam ketika bergelut dengan seorang suspek sebelum rebah dalam keadaan berlumuran darah. Mangsa dibawa orang ramai ke Hospital Miri,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa terbabit kini menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, 10 warga Indonesia dipercayai pekerja kapal di Kuala Baram berusia 20 hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment