Lokasi sebenar tidak diketahui
APMM menggunakan pesawat jenis ini untuk melakukan pencarian melalui udara bagi menjejaki empat kaki pancing yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu.
KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur  mempertingkatkan usaha Operasi Carilamat empat kaki pancing yang hilang di perairan Kuantan sejak enam hari lalu termasuk pencarian melalui udara menggunakan pesawat Bombadier di kawasan 25 batu nautika dari Kuantan, semalam.

Bagaimana pun sehingga jam 4 petang semalam, tiada sebarang perkembangan berhubung nasib Baheruzaman Yusof, 40, bersama rakannya, Ayzzat Rahmat Yaakop, 40, Rahmat Chik, 51 dan seorang lagi lelaki hanya dikenali sebagai ‘Karim’  yang hilang selepas keluar memancing sejak Rabu minggu lalu.

Bilik Gerakan APMM Wilayah Timur memaklumkan, usaha mencari juga terganggu akibat keadaan cuaca yang agak buruk petang semalam menyebabkan Kapal KM Gemia yang mengambil alih tugas daripada KM Sebatik hanya keluar kira-kira jam 4 petang semalam untuk meneruskan pencarian.

“Dalam operasi hari ini (semalam) sebuah kapal (KM Gemia),  dua bot penyelamat, Penyelamat 6 dan Kilat 50 meneruskan operasi membabitkan kekuatan 30 anggota termasuk krew pesawat Bombadier," katanya.

Jurucakap bilik gerakan itu berkata, lokasi sebenar kedudukan bot mangsa menjalankan aktiviti memancing tidak diketahui manakala  keadaan cuaca dengan angin kuat dan laut bergelora menyukarkan Operasi Carilamat dijalankan.

“Mengikut ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin Timur Laut bertiup 40-50 km/j dengan ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter (berbahaya kepada bot-bot kecil),” katanya.

Empat kaki pancing itu dipercayai  keluar memancing di kawasan perairan Pahang sejak enam hari lalu dikhuatiri hilang selepas mereka tidak pulang sehingga jam 5 petang semalam.

Mereka turun dari Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, Sungai Kuantan di  Perkampungan Cenderawasih  dengan menaiki bot fiber sepanjang 6.5 meter dipercayai ke kawasan uncang dalam kawasan perairan daerah ini.

Usaha mencari melibatkan beberapa agensi penyelamat termasuk APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang.