Search This Blog

Saturday, February 9, 2013

Lima ditahan disyaki bunuh juruteknik

Shah Alam: Misteri penemuan tulang dalam sebuah kereta Proton Waja di Alam Impian, Seksyen 35, 1 Februari lalu membawa kepada penahanan lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan seorang juruteknik yang juga individu yang memandu kereta berkenaan.

Lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai dibunuh sebelum sebahagian badannya dibuang ke laut berdekatan jambatan menuju ke Pulau Indah manakala sebahagian lagi dibakar bersama kereta Proton Waja yang digunakan mangsa.


Namun, status analisis tulang yang ditemui di dalam kereta Proton Waja yang ditemui terbakar masih belum diperoleh daripada Jabatan Kimia.

Semua lelaki berusia 18 hingga 35 tahun itu ditahan kelmarin dan semalam antara jam 6.30 petang hingga 12.20 pagi di sekitar Taman Sentosa, Klang.


Polis turut menemui telefon bimbit, pakaian dan beberapa dokumen milik mangsa di rumah seorang daripada mereka dan polis juga menemui tompokan darah di sebuah tapak pembinaan di Taman Laksamana Sentosa, kelmarin, dipercayai tempat mangsa dibunuh.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis kini sudah mengarahkan unit penyelam untuk menyelam di kawasan laut berhampiran jambatan menuju ke Pulau Indah untuk mencari baki anggota badan mangsa.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek dan mangsa mengenali antara satu sama lain tetapi masih tidak dapat mengenal pasti motif pembunuhan.

No comments:

Post a Comment