Letupan bas ragut 13 nyawa
Sebilangan kereta di kawasan kejadian turut musnah dalam letupan mengejut itu.
CILVEGOZU - Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, manakala 30 yang lain cedera selepas sebuah bas mini secara tiba-tiba meletup sewaktu memasuki sempadan Turki-Syria, kelmarin.

Pegawai Turki memberitahu, punca letupan yang turut meragut 10 nyawa rakyat Syria itu masih dalam siasatan.

Katanya, insiden tercetus di kawasan pintu masuk kastam Cilvegozu di sempadan Turki yang juga salah satu jalan utama bagi pelarian Syria memasuki Turki.

Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Arinc berkata, bas didaftarkan di Syria itu meletup hanya beberapa meter dari pintu sempadan Turki, di mana puluhan orang awam dan pekerja kemanusiaan sedang berkumpul.

“Ia merupakan satu letupan kuat. Tetapi tidak dapat dipastikan sama ada bas itu sarat dengan bahan letupan atau satu jenis letupan yang lain.

“Segala kemungkinan berlakunya kejadian kini sedang disiasat, termasuk motif politik,” katanya. - Al-Jazeera