Sujaryo
Di tepi tembok Laman Maharani inilah Sujaryo duduk sebelum terjun ke tebing dan berlari memasuki Sungai Muar.
Kesan tapak kaki didakwa milik Sujaryo yang berlari sebelum terjun ke Sungai Muar.
Kesan tapak kaki didakwa milik Sujaryo yang berlari sebelum terjun ke Sungai Muar.
MUAR - Tindakan seorang lelaki warga Indonesia yang dilihat berlari secara tiba-tiba dari tebing lalu terjun ke Sungai Muar sebelum tenggelam menimbulkan kejutan kepada rakan-rakannya yang menyaksikan kejadian itu.

Dalam kejadian jam 3.10 petang itu, perbuatan Sujaryo, 21, disaksikan sendiri rakan-rakannya  yang turut berada di Laman Maharani bersebelahan dengan tempat kejadian, kelmarin.

Rakan mangsa, Jamhari, 30, berkata, sebelum kejadian Sujaryo duduk di tepi tembok Laman Maharani sambil memakan keropok.

Menurutnya, secara tiba-tiba Sujaryo terjun ke tebing lalu berlari ke arah sungai yang sedang surut.

“Saya sempat memanggilnya beberapa kali tetapi tidak dihiraukan dan terus berlari menuju dan memasuki sungai sebelum tenggelam dalam sungai Muar.

“Orang ramai yang menyedari kejadian itu segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Jamhari mengenali rakannya itu tiga tahun lalu ketika Sujaryo yang berasal dari Jawa Barat baru memulakan pekerjaan sebagai buruh binaan dengan majikannya di Bakri.

“Empat hari kebelakangan ini, Surjaryo kelihatan tidak sihat, murung dan turut beritahu sering diganggu suara ghaib.

“Dia terlalu runsing dengan masalah itu sehinggakan dilihat kerap termenung semasa bekerja,” katanya.

Katanya, pagi tadi (kelmarin) Sujaryo meminta untuk menemaninya membeli kasut dan baju di kedai pakaian terpakai di bandar ini.

“Selepas beli pakaian, kami makan tengah hari bersama-sama sebelum ke Laman Maharani untuk bertemu rakan-rakan lain.

“Ketika di Laman Maharani, dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan yang mencurigakan dan sempat menyuruh rakan ambil gambarnya menggunakan telefon bimbit miliknya,” katanya.

Katanya lagi, dia tidak menyangka Sujaryo akan bertindak di luar jangkaan dan masih terkejut dengan insiden yang berlaku di depan matanya sendiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
“Usaha mencari mangsa yang hilang sejak kelmarin masih diteruskan hari ini (semalam), namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.