SHAH ALAM - Keluarga C. Sugumar yang didakwa meninggal dunia akibat dipukul baru-baru ini mahu pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand melakukan bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang.

Dr Pornthip adalah pakar patologi yang mendapat perhatian ramai ketika memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock.

Dalam kenyataan media hari ini, Naib Presiden PKR, N. Surendran dan seorang lagi pemimpin parti itu, Latheefa Koya berkata, mereka telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan ketua pengarah Kementerian Kesihatan untuk memberi kebenaran kepada Dr Pornthip melakukan prosedur itu.

"Dr Pornthip mesti diberi akses penuh ke atas kemudahan untuk menjalankan post-mortem kedua di hospital kerajaan dan dibenarkan untuk menjalankan sendiri post-mortem.

"Kami tidak mempunyai bantahan terhadap pakar patologi kerajaan dibenarkan untuk memerhatikan prosedur itu.

"Kami menyeru perdana menteri dan pihak berkuasa berkaitan lain untuk bertindak balas dengan segera ke atas permintaan ini kerana keluarga tidak dapat untuk menjalankan upacara terakhir sehingga bedah siasat kedua selesai," kata kenyataan itu lagi.

Hospital Serdang mengeluarkan laporan bahawa Sugumar meninggal dunia akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, dalam kejadian amuk 24 Januari lalu, Sugumar yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hulu Langat, dilaporkan menggunakan palang besi untuk merosakkan harta benda awam.

Beliau mula mengamuk dari Taman Sri Nanding Kajang sebelum menuju ke Taman Desa Raya dan Taman Lagenda Suria.

Abdul Rashid berkata polis mengekori suspek sejauh dua kilometer sebelum dia tiba-tiba terjatuh di bahu jalan.

"Ketika itu, polis dan orang awam menangkap lelaki itu yang bertindak agresif dan dia didapati tidak sedarkan diri ketika berada dalam kenderaan polis," katanya.

Namun timbul dakwaan Sugumar menjadi mangsa pukul polis.