Search This Blog

Monday, February 4, 2013

Kanak-kanak jadi pengedar


Jamaludin Kudin


KUALA LUMPUR 3 Feb. - Jika sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang didalangi oleh warga Nigeria memilih wanita untuk dijadikan ‘keldai dadah’, keadaan berbeza berlaku di Kelantan apabila kumpulan sindiket dadah tempatan menggunakan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun sebagai kurier mengedar bahan larangan itu.
Taktik mengedar dadah menggunakan kanak-kanak yang masih belajar di sekolah rendah semakin popular di negeri itu kerana sukar bagi pihak polis mengambil tindakan terhadap mereka apabila ditangkap.
Timbalan Pengarah III (Perlucuthakan Harta/Tahanan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin berkata, masalah pengedaran dadah di negeri berjiran dengan Thailand itu serius bukan sahaja kerana jumlah penagih yang tinggi tetapi turut melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti pengedaran.
Beliau berkata, kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti haram itu dibayar dengan sejumlah wang menyebabkan mereka tertarik untuk menjadi pengedar.
“Kegiatan sindiket pengedaran dadah di Kelantan menggunakan kanak-kanak sebagai ‘despatch’ (penghantar) dadah dikesan sudah aktif sejak lima tahun lalu.
“Tujuan sindiket menggunakan kanak-kanak adalah untuk menyukarkan polis mengambil tindakan terhadap mereka kerana kanak-kanak bawah umur tidak boleh diambil tindakan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985 dan dimasukkan ke pusat pemulihan dadah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.
Jamaludin berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan tangkapan 20 kanak-kanak berusia bawah 13 tahun kerana kesalahan mengedar dadah sepanjang tahun lalu.
Sepanjang tahun lalu juga, katanya, terdapat 310 remaja berusia 14 hingga 18 tahun ditangkap kerana kesalahan sama.
Menurutnya, selain kesalahan mengedar, seramai 180 kanak-kanak berusia bawah 13 tahun ditangkap kerana memiliki dadah dan 330 orang lagi positif mengambil bahan larangan itu.
“Turut ditangkap ialah 1,058 remaja berusia 14 hingga 18 tahun kerana kesalahan memiliki dadah dan 5,466 orang positif dadah," ujarnya.
Menurut Jamaludin, pihaknya memandang serius masalah dadah membabitkan kanak-kanak dan remaja di negara ini kerana sedar ia boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negara.
Beliau berkata, golongan muda yang terlibat dengan dadah akan tercicir dari segi pelajaran dan menimbulkan masalah sosial kerana mereka cenderung melakukan jenayah jika terdesak mendapatkan wang untuk membeli dadah.
Katanya, mereka yang terjebak dengan penagihan dadah juga akan hilang jati diri dan tidak boleh membantu menyumbangkan modal insan bagi membangunkan negara.
“Saya ingin menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak meningkat remaja supaya peka dengan perkembangan mereka kerana kajian mendapati masalah penagihan dadah membabitkan golongan muda banyak berpunca daripada keluarga.
“Antaranya ialah ibu bapa terlalu sibuk bekerja sehingga tiada masa memerhatikan anak-anak dan kediaman yang tidak selesa misalnya keluarga besar tinggal di rumah sempit menyebabkan anak-anak lebih suka berkeliaran di luar mengakibatkan mereka terjebak dengan rakan-rakan terlibat dengan dadah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130204/je_01/Kanak-kanak-jadi-pengedar#ixzz2JwfqXrQ3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment