Search This Blog

Thursday, February 7, 2013

Jual bayi dengan harga RM25,000



Sindiket jual bayi semakin meluas di Asia dan Eropah Timur. - Gambar Hiasan
JAKARTA 6 Feb. - Sindiket penjualan bayi sudah tidak lagi mengenal erti kemanusiaan apabila seorang bayi yang baru dilahirkan boleh bertukar tangan daripada ibu kandung kepada pembeli dengan bayaran rupiah (Rp) 80 juta (RM25,000).
Kadar bayaran itu merupakan harga yang ditetapkan oleh satu sindiket penjualan bayi kepada pelanggan-pelanggan mereka sehingga meliputi negara-negara seperti Singapura, Malaysia, Taiwan, Australia dan Eropah Timur.
Namun, ketangkasan polis Jakarta berjaya mematahkan sindiket itu dengan menangkap tujuh wanita termasuk seorang bekas bidan yang selama ini menyasarkan keluarga miskin sebagai sumber bekalan bayi untuk dijual.
Bayi-bayi yang diperoleh dijual kepada pembeli-pembeli dalam dan luar negara dengan harga antara rupiah (Rp) 70 juta (RM22,000) hingga rupiah (Rp) 80 juta (RM25,000) seorang.
Menurut jurucakap polis, modus operandi sindiket itu ialah dengan menawarkan pinjaman wang kepada keluarga miskin yang tidak mampu membayar kos rawatan bersalin di hospital.
Bagaimanapun, ibu dan bapa bayi berkenaan harus mengikut syarat dan ketetapan iaitu meninggalkan bayi yang baru dilahirkan itu kepada mereka, sebagai jaminan sehingga hutang itu selesai dilunaskan.
Sebaik bayi-bayi tersebut berada di tangan sindiket, anak-anak yang baru dilahirkan itu akan terus dijual kepada pembeli tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Berdasarkan siasatan, polis percaya terdapat juga segelintir ibu bapa yang dengan kerelaan sendiri menjual bayi mereka kepada sindiket tersebut kerana disebabkan dihimpit oleh masalah ekonomi.
Siasasat polis turut mendapati, sebelum bayi-bayi itu dijual, pihak sindiket terlebih dahulu menyiapkan surat beranak dan kad pengenalan keluarganya yang asli tetapi dengan mengandungi butiran diri yang palsu.
Kedua-dua dokumen pengenalan diri itu kemudian digunakan untuk membuat pasport antarabangsa bayi yang akan dijual ke luar negara.
Pihak polis tidak menolak kemungkinan adanya kerjasama antara para suspek dalam sindiket itu dengan hospital tertentu, namun perkara itu masih disiasat.
Setakat ini kes penjualan bayi oleh sindiket itu belum melibatkan bayi yang dicuri dari hospital, namun polis akan turut menyiasat kemungkinan sindiket itu terbongkar di suatu tempat di Jakarta Barat di mana polis menjumpai lima orang bayi yang dipercayai akan dijual oleh sindiket itu. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130207/lu_06/Jual-bayi-dengan-harga-RM25000#ixzz2KDkS53Ki
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment