Search This Blog

Monday, February 25, 2013

Ibu jari terputus akibat terbelit tali lembu



SHUID Ariffin menunjukkan ibu jari kanannya yang putus setelah terbelit tali yang diikat pada lembu ternakannya di Jitra, petang semalam. Beliau ditemui di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar hari ini. - UTUSAN/SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
ALOR SETAR 24 Feb. - Seorang penternak lembu terputus ibu jari kanan akibat terbelit tali lembu di Kampung Charuk Ketiak, Mukim Pelubang, Jitra semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 6 petang ketika dia mahu memasukkan lembu-lembunya ke dalam kandang yang terletak kira-kira 600 meter dari rumahnya.
Shuid Ariffin, 65, berkata, kejadian berlaku apabila lembu-lembunya didatangai sekumpulan anjing dari kawasan berhampiran.
Akibat itu seekor anak lembu betina berusia setahun yang dia sedang memegang talinya menjadi terkejut dan terus mengheret tali itu.
"Tanpa disedari, tali itu telah membelit ibu jari saya. Saya lihat darah keluar dari jari saya dan saya rasa kebas. Kemudiannya baru saya perasan ibu jari saya telah putus kira-kira satu inci (2.54 sm)," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Shuid berkata, apabila mendapati jarinya putus, dia segera mengayuh basikalnya balik ke rumah sambil memegang jari yang putus itu dengan tangan kiri.
Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra oleh jirannya sebelum dia dirujuk ke HSB.
Dia yang menghidap penyakit darah tinggi berkata, doktor memberitahu yang jarinya terpaksa dibedah, namun terpaksa menunggu sehingga keadaan darahnya stabil.
"Doktor kata jika darah saya makin elok, baru boleh bedah. Saya pun tak pasti sama ada jari saya boleh dicantum balik atau tidak," katanya.
Shuid berkata dia reda dengan kejadian itu dan tidak serik untuk terus membela lembu.
"Saya memang minat bela lembu. Sudah lebih 10 tahun saya bela lembu," ujarnya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130224/je_07/Ibu-jari-terputus-akibat-terbelit-tali-lembu#ixzz2LvOTAudW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment