Empat kaki pancing hilang
Engku Yushanizam (kanan) dan Zamri (dua kanan) bersama rakan-rakan lain menunggu di jeti menantikan khabar empat rakan mereka yang dikhuatiri hilang selepas keluar memancing.
KUANTAN - Empat kaki pancing yang dipercayai  keluar memancing di kawasan perairan Pahang sejak lima hari lalu dikhuatiri hilang selepas mereka tidak pulang sehingga jam 5 petang semalam.

Usaha rakan-rakan menjejaki mereka juga menemui jalan buntu selepas telefon bimbit keempat lelaki itu gagal dihubungi.

Baheruzaman Yusof, 40, bersama rakannya, Ayzzat Rahmat Yaakop, 40, Rahmat Chik, 51 dan seorang lagi lelaki hanya dikenali sebagai ‘Karim’ (umur masih belum diketahui) keluar memancing kira-kira jam 5 petang, Rabu lalu.

Mereka turun dari Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, Sungai Kuantan di  Perkampungan Cenderawasih dengan menaiki bot fiber sepanjang 6.5 meter dipercayai ke kawasan uncang dalam kawasan perairan daerah ini.

Seorang rakan, Engku Yushanizam Engku Ngah, 36, berkata, mereka khuatir nasib keempat kaki pancing itu memandangkan keadaan laut dikatakan bergelora sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, mereka sepatutnya pulang petang Khamis, 21 Februari lalu, namun gagal berbuat demikian hingga jam 5 petang semalam.

“Saya difahamkan mereka hanya membawa bekalan makanan dan minyak hanya untuk tempoh sehari atau dua hari, jadi agak mustahil mereka mampu bertahan hingga ke hari ini.

“Kami cuba menghubungi mereka sejak tiga hari lalu, namun gagal lalu membuat laporan polis kira-kira jam 8 malam tadi (kelmarin) kerana bimbangkan keselamatan mereka,” katanya ketika ditemui bersama beberapa rakan lain di Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, dekat sini, semalam.

Seorang lagi rakan, Zamri Abdul Razak, 33, berkata, ahli keluarga juga tidak mendapat sebarang berita mengenai nasib keempat mangsa dan difahamkan mereka turut membuat laporan polis berhubung kehilangan itu.

“Kereta dan treler menarik bot mereka (mangsa) masih ada di sini,” katanya.

Zamri berkata, sebelum ini dia bercadang untuk keluar mencari, namun terpaksa membatalkan hasrat memandangkan keadaan laut dilaporkan bergelora, selain tidak pasti kedudukan rakan mereka yang hilang itu.

“Kami hanya mampu berdoa agar mereka semua selamat dan berjaya ditemui pasukan penyelamat yang memulakan usaha mencari hari ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff mengesahkan menerima laporan kehilangan empat lelaki itu daripada rakan dan keluarga mangsa.

Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang telah melancarkan gerakan mencari mangsa.

“Bagaimanapun hingga jam 2 petang ini (semalam,) keempat-empat pemancing itu gagal dikesan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Pusat Operasi Maritim Wilayah Timur, APMM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kuantan berhubung kejadian kira-kira jam 10.45 malam, kelmarin.

Lt Maritim Mohd Ardi Mat Nawi berkata, susulan laporan yang diterima, APMM mengaktifkan Operasi Carilamat jam 10.50 malam kelmarin dan semalam, kira-kira  jam 7 pagi, Kapal KM Sebatik bersama dua bot, Penyelamat 6 dan Kilat 50 beserta anggota telah ditugaskan melaksanakan operasi itu di persisiran Perairan Kuala Pahang sehingga Kuala Kemaman.

“Namun sehingga jam 5 petang, kesemua mangsa masih belum ditemui, manakala operasi masih diteruskan.

"Lokasi sebenar kedudukan bot mangsa menjalankan aktiviti memancing tidak diketahui manakala keadaan cuaca dengan angin kuat dan laut bergelora menyukarkan operasi menyelamat dijalankan," katanya.