Empat hari hilangkan diri
Mat Sam yang memangku Syafiq Rayyan, merayu anaknya pulang ke pangkuan keluarga.
JENGKA 12 - Seorang peneroka di tanah rancangan ini merayu anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga setelah menghilangkan diri sejak empat hari lalu.

Peneroka itu, Mat Sam Salleh, 67, berkata, anaknya, Haliza Mat Sam, 29, yang juga ibu tunggal mempunyai anak berusia setahun itu, menghilangkan diri kira-kira jam 8.30 malam, Sabtu lalu.

“Pada petang hari berkenaan, kami pergi ke pasar malam. Pada sebelah malamnya ketika sedang menonton televisyen, dia (Haliza) beritahu hendak ke dapur untuk makan nasi.

“Setelah lama dia di dapur, isteri saya memanggilnya, namun tidak disahut. Apabila jenguk ke dapur, kami dapati dia tiada,” katanya.

Dia berkata, Haliza tinggal bersamanya sejak setahun lalu setelah bercerai dengan suaminya.

“Seingat saya, kami tidak pernah bertengkar dan mempunyai masalah. Malah, hubungan kami sangat baik.

“Saya tahu dia ada menjalinkan hubungan dengan pekerja ladang warganegara Indonesia yang menetap di tanah rancangan ini. Malah, kami tidak menghalang percintaan mereka,” katanya.

Menurutnya, dia ada bertanyakan mengenai kehilangan anaknya itu, tetapi pada pekerja ladang tersebut memaklumkan tidak tahu mengenai perkara tersebut.

“Lelaki terbabit masih ada di tanah rancangan ini dan tidak mengetahui ke mana anak saya menghilang.

“Saya bimbang keselamatannya kerana dia keluar rumah tanpa membawa wang dan kad pengenalan,” katanya.

Mat Sam harap Haliza pulang demi anaknya, Syafiq Rayyan yang masih memerlukan perhatian seorang ibu.

“Saya harap Haliza fikirkan mengenai anaknya dan pulang ke pangkuan kami. Jika tidak dapat pulang, hubungi kami dan maklumkan keadaan dia.

“Saya juga harap orang ramai dapat menghubungi kami di talian 019-9063935 sekiranya mempunyai maklumat mengenai Haliza,” katanya.

Mat Sam juga sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu di Balai Polis Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Ahad lalu.