Search This Blog

Monday, February 18, 2013

Dua tahanan lolos masih dalam Malaysia



TASEK GELUGOR: Polis Pulau Pinang percaya dua tahanan iaitu Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, yang meloloskan diri daripada tahanan polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth baru-baru ini, masih berada dalam negara.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata berdasarkan maklumat yang diterima mereka dikatakan bersembunyi di beberapa kawasan bagi mengelak dikesan polis.
"Mereka telah keluar daripada kawasan operasi iaitu Permatang Pauh dan negeri ini tetapi belum ke negara jiran atau keluar daripada Malaysia, dua tahanan itu dipercayai bersembunyi di sekitar negeri berhampiran Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sahsiah Unggul Murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad, di sini hari ini.

Beliau berkata polis negeri ini masih menjalankan Ops Kesan Gelugor bagi memburu dua lelaki terbabit dan kontinjen di negeri lain juga sedang bekerjasama menjejaki mereka.


Pada kejadian 9 pagi 7 Jan lepas, sembilan tahanan itu meloloskan diri selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring daripada van polis.


Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi iaitu Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mustafa, 28, ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada 10 Jan.

Manakala Mohd Farid Akhtar, 24, Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, dan Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, yang berjaya ditahan semula, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan di Mahkamah Majisteret Butterworth pada 25 Jan lepas.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata pihaknya telah mengambil tindakan menggantung kerja seorang anggota polis berpangkat sarjan berusia 50-an, yang bertugas menyelia dan mengatur kawalan keselamatan dalam kejadian itu.

"Kita sudah gantung kerja penyelia (sarjan) yang mengatur kawalan keselamatan untuk beri pengajaran kepada dia kerana tidak mengikut SOP, sepatutnya dia bagi black maria tetapi bagi van polis sahaja untuk bawa sembilan tahanan terbabit," katanya.

Abdul Rahim berkata empat anggota polis yang mengiringi tahanan terbabit pula masih disiasat dan akan dikenakan tindakan disiplin jika didapati berlaku kecuaian. - Bernama

No comments:

Post a Comment