Search This Blog

Wednesday, February 13, 2013

Dua suspek kes lari kenderaan dikenal pasti


Kuala Terengganu: Polis sudah mengenalpasti dua suspek yang melarikan kenderaan pacuan empat roda bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Stesen PETRONAS Bukit Kuang, Chukai, pada 23 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata polis kini berusaha menjejak dua suspek itu yang menjalankan kegiatan curi motosikal dan kereta.
Katanya, polis yakin dapat menahan dua lelaki terbabit hasil maklumat yang diperoleh daripada seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai rakan suspek yang ditahan di Kertih, kira-kira 60 kilometer dari tempat kejadian.

“Kami percaya dua suspek ini akan ditahan,” katanya di sini, semalam.

Manoharan berkata, hasil siasatan mendapati suspek memiliki 21 kes jenayah lampau seperti mencuri kenderaan di negeri ini.

Katanya, sebanyak 12 kes kecurian motosikal dikenal pasti membabitkan suspek terbabit iaitu 11 di Besut dan satu di Pasir Putih, Kelantan manakala tiga kes curi kereta di Besut.

“Kami sedang berusaha mendapatkan semula barang kes ini. Kami mendapati kebanyakan kenderaan yang dicuri dijual kepada individu yang tidak dikenali di negara ini dan di Golok, Thailand,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang berasal dari Kampung Padang Luas, Jertih tidak mempunyai kad pengenalan dan mengaku terbabit dengan kegiatan curi kenderaan dan dadah.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A kerana mencuri kenderaan bermotor, Seksyen 363 kerana menculik kanak-kanak di bawah jagaan ibu bapa dan Seksyen 25 (1)(n) kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Dalam kes berasingan, Manoharan berkata pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket dikenali sebagai ‘Geng Mirul Tok Kaya’ berikutan tertangkapnya lima lelaki berusia antara 16 hingga 59 tahun yang disyaki mencuri motosikal di sekitar kawasan Kampung Tok Kaya, Chabang Tiga, di sini, awal bulan lalu.

Katanya, berikutan penahanan lima suspek itu, polis menahan tiga lagi suspek di Chabang Tiga dan di Kampung Baru, Hulu Takir, Seberang Takir, di sini, 4 Februari lalu.

“Ahli kumpulan ini akan mencari motosikal yang tidak menggunakan kunci keselamatan tambahan dan melarikannya ke kawasan sunyi sebelum komponennya dileraikan manakala rangka motosikal dibuang ke dalam parit dan tali air,” katanya.

No comments:

Post a Comment