Ops Selamat Il
Jalaluddin memalu gong sebagai simbolik pelancaran Ops Selamat II.
KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya menembak mati dua penjenayah yang merupakan anggota Geng Aime yang aktif dalam kegiatan samun bersenjata api sejak tahun lalu dalam kejadian tembak menembak di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, tengah hari semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 hingga 1 tengah hari itu, sepasukan anggota polis berjaya mengesan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dinaiki empat suspek.                           

Menurutnya, sebelum itu, keempat-empat suspek telah melakukan samun bersenjata terhadap seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan kerani sebuah syarikat di Kuala Krai yang baru sahaja mengeluarkan wang sebanyak RM50,000 dari sebuah bank.

”Sebaik mengeluarkan wang, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga kemudian diekori kenderaan suspek sebelum kereta mangsa dihalang dan suspek menarik mangsa bersama sebuah beg yang berisi wang berkenaan ke dalam kenderaan mereka.

”Selepas melarikan diri sejauh kira-kira 50 kilometer, mangsa ditinggalkan di tepi jalan. Mangsa kemudian terus membuat laporan dan sepasukan anggota polis kemudian berjaya mengesan kenderaan suspek di kawasan Kampung Sungai Sam,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ops Selamat II sempena Tahun Baru Cina di Kubang Kerian, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, ketika anggota cuba menghalang kereta suspek, salah seorang penjenayah melepaskan empat das tembakan dan pihak polis membalas tembakan, menyebabkan salah seorang penjenayah mati di tempat kejadian dan seorang lagi cuba melarikan diri, namun suspek rebah dan mati.        

Menurutnya, dua lagi penjenayah sempat melarikan diri di dalam semak berhampiran dan usaha mengesan kedua-duanya sedang giat dijalankan.

”Hasil pemeriksaan kita telah menemui sepucuk pistol jenis .38 bersama 15 butir peluru selain wang RM15,200 dipercayai disamun daripada mangsa, sementara baki wang tersebut dipercayai dilarikan oleh dua penjenayah yang berjaya meloloskan diri.

”Suspek yang ditembak mati berusia 22 dan 29 tahun berasal dari Kuala Krai dan Jeli. Hasil semakan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah. Kita menjejaki kumpulan ini sejak sebulan lalu dan percaya kematian dua suspek berkenaan melumpuhkan aktiviti mereka.

”Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata serta berkumpulan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum sehingga 20 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan,” ujarnya.