Search This Blog

Thursday, February 7, 2013

Dua lagi remaja hilang



KUALA LUMPUR 6 Feb. - Seorang bapa meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan anaknya, Nor Azizah, 16, yang tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan di Selayang sejak Khamis lalu.
Bapa remaja itu, Jamaludin Ahmad, 55, berkata, dia berharap anak keempat daripada lima beradik itu pulang kerana bimbang akan keselamatannya selain rindu anaknya kerana tidak pernah berpisah sebelum ini.
"Anak saya menghilangkan diri bersama rakan baiknya, Noor Nadilah Zainudin, 16, yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu.
"Kehilangannya disedari selepas lewat pukul 5 petang apabila Nor Azizah tidak pulang ke rumah dan telefon bimbitnya gagal dihubungi malah dimatikan," katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Jamaludin, anaknya dan rakan baiknya itu tidak ke sekolah hampir seminggu iaitu sejak Selasa lalu, dua hari sebelum kedua-dua mereka menghilangkan diri.
"Kami tiada masalah kekeluargaan dan jika ada pun kebiasaannya ia diselesaikan secara baik malah sebelum kehilangan Nor Azizah juga tiada sebarang pertelingkahan berlaku," katanya lagi.
Jamaludin berkata, anaknya itu dikesan membawa beberapa helai pakaian dan mempunyai sedikit wang saku.
Menurutnya, dia memohon agar anaknya pulang dan menyelesaikan masalah secara baik sekiranya mempunyai masalah.
Sementara itu, bapa Noor Nadilah, Zainuddin Che Pa, 39, berkata, dia meminta anaknya pulang segera kerana bakal menjalani pembedahan usus pada 27 Februari ini.
"Saya percaya kehilangan Nor Nadilah dipengaruhi oleh rakan-rakannya. Pihak sekolah memaklumkan selain Noor Nadilah dan Nor Azizah, dua lagi rakannya turut menghilangkan diri dan tidak hadir ke sekolah sejak seminggu lalu," katanya.
Zainudin dan Jamaludin meminta kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat sekiranya menemui anak-anak mereka di balai polis berhampiran.
Orang awam juga boleh menghubungi abang Nor Azizah di talian 016-2936362, atau ibu Noor Nadilah di talian 012-3199109.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130207/wk_07/Dua-lagi-remaja-hilang#ixzz2KDmQYdus
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment