Search This Blog

Wednesday, February 13, 2013

4 pekerja ladang nyaris dibaham



Gua Musang: Empat pekerja ladang termasuk dua mandur nyaris menjadi mangsa harimau kumbang apabila terserempak dengan haiwan itu di ladang sawit Tanah Rancangan FELDA Perasu, di sini, semalam.

Bagaimanapun, mereka terselamat kerana sempat menyelamatkan diri dengan melarikan diri sebaik ternampak harimau terbabit yang dipercayai mencederakan buruh ladang warga Indonesia, Ahad lalu.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika mereka berjalan kaki di kawasan ladang sawit berkenaan untuk mencari pam racun yang tertinggal.

Seorang mandur terbabit, Hafisan Ismail, 27, berkata ketika berjalan di kawasan ladang sawit berkenaan, mereka ternampak harimau kumbang bersembunyi dalam semak.

“Ketika dalam perjalanan, saya yang memegang sebilah golok menguis batang pelepah pohon sawit yang menutupi lorong kecil dalam semak dan ternampak haiwan itu.

“Saya bersama seorang lagi mandur, Fakri Mohd Zain, 25, dan dua buruh, Zulkifli Yaacob, 50 serta Firdaus Kamaruddin, 23, terus lari bagi menyelamatkan diri kerana bimbang diterkam harimau kumbang itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, Ahad lalu, seorang buruh ladang warga Indonesia, Alip Abil, 33, cedera diterkam haiwan itu ketika sedang meracun rumput di ladang Tanah Rancangan FELDA berkenaan.
Mangsa yang mendapat rawatan di Hospital Gua Musang menerima 50 jahitan kerana cedera di kepala, lengan kanan, tangan kiri, punggung dan dada.

Fakri berkata, harimau itu setinggi paras paha orang dewasa dan terdapat kesan cedera di belakang dipercayai dipukul buruh yang berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian Ahad lalu.

Beliau berkata, kini semua buruh ladang seramai 42 orang terpaksa diberi cuti rehat demi keselamatan mereka.

“Kita berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan bertindak segera,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, PERHILITAN Kelantan menasihatkan penduduk di kawasan itu tidak bertindak sendiri bagi mengelak kejadian tidak diingini.

No comments:

Post a Comment