Search This Blog

Sunday, February 24, 2013

Derita jerat cinta lelaki Flores




ABDUL Hamid mencium pipi Munirah sambil mendukung Mohamad Tajul dengan 
diperhatikan oleh Robeah di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Seorang wanita dari Tanjung Dawai, Kedah mengalami pengalaman pahit selama enam tahun hidup menderita termasuk bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji 250,000 rupiah (RM80) sebulan gara-gara mengikut kekasihnya lari ke Pulau Flores, Indonesia.
Bukan itu sahaja, Munirah Abdul Hamid, 22, yang menghilangkan diri selepas pulang dari sekolah pada tahun 2007, terpaksa bersabung nyawa dengan terjun ke laut dan berenang hampir sehari suntuk dari perairan Johor ke Pulau Batam, Indonesia.
Mereka terpaksa berbuat demikian selepas bot yang dinaiki dari Tanjung Dawai itu ditahan pihak penguat kuasa maritim.
Bagaimanapun, pengorbanan Munirah menjerat diri sendiri apabila lelaki tersebut bertindak meninggalkannya semasa mereka tiba di Pulau Batam.
Akibatnya, Munirah terpaksa bekerja hampir dua tahun sebagai pembantu rumah di Batam dengan gaji RM80 sebulan sebelum dia membawa diri ke Pulau Adonara, Flores Timur.
Sewaktu di pulau itu, dia berkenalan dengan duda, Mohd. Najib, 35, atau Yohanes (nama sebelum memeluk Islam) dan berkahwin pada tahun lalu.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak, Mohamad Tajul Azzez yang kini berusia sembilan bulan.
"Pengalaman melarikan diri bukanlah indah tetapi amat menakutkan, cuma entah mengapa saya tidak teringat kepada keluarga, macam kena pukau.
"Selepas ini saya mahu mulakan hidup baharu dan tidak akan pulang lagi ke sana (Indonesia)," katanya.
Nasib Munirah hanya diketahui keluarganya selepas Mohd. Najib menelefon keluarga isterinya itu pada akhir tahun lalu.
Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dengan bantuan Wisma Putra, pemerintah Indonesia serta Penyelaras Parlimen Merbuk, Datuk Tajul Urus Md. Zain mengambil masa sebulan untuk membawa pulang Munirah sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang semalam.
Sebaik keluar dari balai ketibaan, Munirah menerpa dan melutut di kaki ibunya, Robeah Hamid, 52, sebelum memeluk bapanya, Abdul Hamid Mat, 51, untuk memohon maaf.
Dia turut ditemani Mohd. Najib Abdullah, 35, dan Mohamad Tajul.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2LlqANbb3 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment