Search This Blog

Wednesday, February 13, 2013

Dadah: 20 selebriti ditangkap



PADA 30 Disember lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita penahanan pelakon dan model kontroversi, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul kerana didakwa memiliki dua biji pil Eramin 5 dan positif dadah jenis ‘methampetamine’ bersama seorang rakan lelakinya di sebuah kondominium di Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini.
Di Jakarta, Indonesia pada 27 Januari lalu pula, dunia hiburan di republik itu gempar dengan berita tangkapan penyanyi dan pelakon lelaki, Irwansyah yang pernah menempah kemasyhuran menerusi lagu ‘Pencinta Wanita’ oleh Badan Narkotik Nasional (BNN) ketika sedang berpesta dadah.
Irwansyah ditahan bersama tiga lagi selebriti terkenal Indonesia iaitu isterinya, pelakon Zaskia Sungkar; pengacara hiburan paling popular ‘Dahsyat’, Raffi Ahmad dan seorang lagi bekas pelakon yang juga merupakan seorang wakil rakyat di Jakarta, Wanda Hamidah.
Kini, kes dadah membabitkan Zarina masih menunggu tarikh untuk sebutan, manakala Irwansyah, Zaskia dan Wanda bernasib baik apabila dibebaskan oleh BNN setelah didapati tidak mengambil dadah tetapi secara kebetulan berada di rumah Raffi semasa serbuan.
Berita penangkapan Zarina dan rakan-rakan artis dari negara jiran itu pantas menjadi berita hangat memenuhi dada akhbar di negara ini dan tidak menghairankan memandangkan mereka adalah selebriti yang menjadi tumpuan masyarakat.
Wartawan ANGELINA SINYANG dan AZRAI MOHAMMAD menemuramah beberapa artis tempatan yang pernah dikaitkan dengan dadah, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) bagi menyelami isu ini.
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Masalah penagihan dadah melibatkan golongan selebriti memberi kesan negatif kepada masyarakat kerana mereka sering dijadikan ikon oleh para peminat.
Menurut Timbalan Pengarah III (Perlucuthakan Harta/Tahanan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh selama tujuh tahun sehingga sekarang, hanya merekodkan 20 tangkapan selebriti.
“Antara ditangkap ialah penyanyi berkumpulan dan solo, pelawak, pelakon dan pengamal media iaitu pengacara rancangan popular yang dianggap sebagai selebriti. Kesemua mereka adalah berketurunan Melayu," katanya.
Jamaludin berkata, polis percaya ada ramai lagi artis terlibat dalam penagihan dadah tetapi nama mereka tiada dalam rekod PDRM kerana tidak pernah ditangkap sehingga kini.
Beliau berkata, ada juga artis yang ditangkap kerana dakwaan menagih atau memiliki dadah dibebaskan daripada tuduhan tersebut dan mengikrarkan diri mereka bersih daripada najis dadah setelah kes mereka dibicarakan di mahkamah.
Katanya, pembebasan artis yang pernah disabitkan dadah ini bukan bermakna polis silap membuat tangkapan terhadap mereka tetapi mereka bernasib baik setelah ujian air kencing dijalankan oleh patologi di Jabatan Kimia mendapati kandungan dadah dalam air kencing mereka tidak mencapai bacaan yang dikehendaki untuk mensabitkan mereka positif mengambil bahan larangan itu.
“Kita yakin 99.9 peratus individu termasuk artis yang pernah ditahan kerana dadah sebelum ini memang positif mengambil bahan larangan itu semasa ujian air kencing pertama kali dilakukan.
“Namun ada yang terlepas semasa perbicaraan di mahkamah kerana hasil ujian air kencing dijalankan oleh patologi selepas itu mendapati negatif kerana kandungan dadah dicatatkan mungkin 700 miligram, iaitu tidak mencapai standard bacaan 1,000 miligram yang ditetapkan oleh Jabatan Kimia sedangkan bacaan standard polis bagi kategori positif dadah adalah lebih rendah iaitu 500 miligram," katanya.
Selain itu, jelas Jamaludin, kandungan dadah bertahan dalam air kencing individu juga bergantung kepada kadar metabolisme iaitu dadah jenis ganja boleh bertahan sehingga dua minggu tetapi jenis psikotropik hanya mampu kekal dalam air kencing dalam tempoh 24 hingga 48 jam sahaja.
Beliau berkata, sebab itu, mereka yang ditahan kerana menagih dadah jenis psikotropik sukar disabitkan positif kerana kandungan bahan larangan itu dalam air kencing mereka akan berkurangan atau neutral dalam tempoh 24 hingga 48 jam akibat proses metabolisme secara semula jadi.
Katanya, rekod PDRM menunjukkan hanya 30 peratus penagih dadah yang ditangkap didapati positif selepas ujian air kencing dijalankan oleh patologi, manakala baki 70 peratus terlepas daripada tuduhan sedangkan hakikatnya mereka memang mengambil bahan larangan itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130213/je_02/Dadah-20-selebriti-ditangkap#ixzz2KmJ4v8JH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment