Search This Blog

Monday, February 4, 2013

Calon Presiden Paraguay maut nahas helikopter

ASUNCION - Calon jawatan Presiden Paraguay yang popular maut dalam nahas helikopter semasa sesi jelajah kempen beliau, Sabtu lalu.

Jeneral Bersara, Lino Cesar Oviedo meninggal dunia lewat malam Sabtu lalu ketika helikopter yang dinaikinya terhempas di barat Paraguay.

Pihak penyiasat menjumpai bangkai pesawat itu pada pagi semalam dan mengesahkan Oviedo, 69, pengawal peribadi serta juruterbang helikopter tersebut maut.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak dapat memberi pengesahan lanjut berhubung punca nahas.

Kematian  mengejut Oviedo ketika musim berkempen sedang hangat dijalankan memberi kejutan kepada seluruh landskap politik negara itu kurang tiga bulan sebelum hari pengundian.

“Kami akan mengupah pakar-pakar antarabangsa dalam kemalangan udara bagi menyiasat apa yang berlaku dalam nahas terbabit,” kata Presiden Federico Franco dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengisytiharkan tiga hari sebagai hari berkabung bagi mengenang jasa Oviedo sebagai wira tentera dan memuji mendiang peranannya dalam rampasan kuasa pada 3 Februari 1989 selepas 35 pemerintahan diktator tentera Jeneral  Alfredo Stroessner.

Kali pertama Oviedo bertanding jawatan presiden ialah pada tahun 1998 tetapi gagal selepas beliau dihukum penjara 10 tahun kerana terlibat dalam cubaan rampasan kuasa pada tahun 1996.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung membatalkan hukuman tersebut pada tahun 2007 dan sekali lagi beliau mendaftar nama dalam pilihan raya presiden pada 2008.

Tetapi, beliau hanya meraih tempat ketiga dengan undian sebanyak 21 peratus.

No comments:

Post a Comment