Bekas pengawal keselamatan ditemui lemas
Mayat mangsa di hantar ke HTI, semalam untuk bedah siasat. Gambar kecil: Ismadi Harun.
TELUK INTAN - Resah sebuah keluarga yang kehilangan salah seorang ahli keluarganya sejak kelmarin dikejutkan dengan berita kematiannya.

Ismadi Harun, 43, seorang bekas pengawal keselamatan ditemui lemas oleh kaki pancing di Sungai Sungkai Mati, dekat Batu 7, Jalan Changkat Jong, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika di hubungi mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

Menurutnya,  mayat ditemui kaki pancing yang kebetulan sedang mencari ikan di kawasan tersebut.

“Polis yang sampai di lokasi menemui mayat mangsa terapung di celah-celah keladi bunting sebelum membawa mayat naik ke darat sebelum di hantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat.

“Setakat ini kami mengklasifasikan kes sebagai lemas. Walaubagaimanapun kita masih menunggu hasil bedah siasat daripada HTI untuk memastikan sama ada kes ada unsur jenayah atau sebaliknya,” katanya.

Adik mangsa, Azhar Harun, 42, ketika di temui di Unit Forensik HTI berkata, mangsa seorang yang ceria dan kali terakhir menemui mangsa adalah pada waktu petang kelmarin dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.

“Itulah kali terakhir saya berjumpa dengan dia. Selepas itu dia tidak pulang seperti biasa namun kami sekeluarga tidak berasa bimbang kerana arwah sering berbuat begitu.

“Namun, selepas sehari tidak pulang kami mula risau dan kerisauan kami terjawab apabila dua anggota polis datang ke rumah kami dan memaklumkan penemuan mayat arwah. Kami ke HTI dan mengesahkan mayat itu adalah ahli keluarga kami,” katanya.

Azhar berkata,  jenazah abangnya yang berasal dari Lorong Haji Mahfud, Batu 4, Kampung Selabak Dalam, dekat sini, dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam, Kampung Selabak.