Poh Choo dan Poh Fong.
Dari kiri: Poh Choo dan Poh Fong.
KLANG SELATAN - “Sesiapa yang nampak anak saya tolong beritahu kami secepat mungkin, kami risau keselamatan mereka. Apatah lagi mereka perempuan,” rayu seorang bapa, Chen Fook Chai, 42, kepada orang awam jika ternampak dua anak perempuannya yang disyaki hilang sejak empat hari lalu.

Fook Chai dan isterinya, Lee Lay Ching, 35, kini bimbang apabila anak sulung dan kedua mereka masing-masing dikenali Chen Poh Choo, 15, dan Chen Poh Fong, 13, hingga kini tidak pulang ke rumah.

Foo Chai berkata, kedua-dua anaknya tidak pulang ke rumah sejak 31 Januari lalu selepas keluar dari rumah sekitar jam 12.30 tengah hari untuk ke sekolah.

“Kedua-dua anak saya itu ke sekolah berjalan kaki memandangkan jarak rumah dengan sekolah hanya 10 minit. Malah mereka kerap ke sekolah bersama termasuk balik ke rumah sekitar jam 7 malam.

“Bagaimanapun pada  hari kejadian, sehingga jam 10 malam mereka masih tidak kelihatan kami mencari mereka di sekolah termasuk di rumah rakan dan kawasan sekitar namun tidak jumpa,” katanya.

Foo Chai berkata demikian  ketika mengadukan  perkara itu kepada Penyelaras BN Dun Pandamaran, Datuk Ching Eu Boon, di pekarangan Pejabat MCA Klang, di Jalan Pendamar  di sini semalam.

Bimbang keselamatan kedua-dua anak menurutnya, dia dan isteri membuat laporan polis di Balai Pandamaran Jaya sekitar jam 12.33 pagi.

Sehingga ke hari ini (semalam), katanya, dia dan isteri cuba mengesan kedua-duanya melalui rakan anaknya, sekolah dan saudara namun gagal.

“Mengejutkan kami apabila dimaklumkan pihak sekolah anak saya tidak hadir ke sekolah pada hari kehilangannya itu.
“Kini kami buntu dan khuatir dengan keselamatan mereka apatah lagi mereka masih kecil dan belum matang,” katanya.

Katanya, kedua mereka kerap meluahkan sebarang perkara kepada isteri saya, namun tiada masalah yang dimaklumkan sebelum kehilangan mereka.

Dalam pada itu, Eu Boon berkata, pihaknya berharap mereka yang mempunyai maklumat menghubungi  talian 017-3659897 atau Pejabat MCA Klang 03-31679897.