Search This Blog

Monday, February 25, 2013

Banjir kilat di timur Australia



SYDNEY 24 Feb. - Sekurang-kurangnya dua penduduk dilaporkan terkorban, manakala beribu-ribu lagi terjejas akibat banjir kilat yang melanda wilayah pantai timur Australia, hari ini.
Menurut Perkhidmatan Kecemasan Negeri, banjir kilat yang disebabkan oleh ribut petir itu memusnahkan banyak kediaman, selain menyebabkan pokok-pokok tumbang.
"Kebanyakan kawasan di wilayah pantai timur negara ini dilanda banjir dan keadaan boleh merebak ke bahagian lain.
"Sehubungan itu, arahan pemindahan kepada kira-kira 20,00 penduduk di wilayah pantai utara dan tengah utara masih dikekalkan sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.
Antara bandar yang terlibat ialah Port Macquarie dan Taree, manakala bandar Kempsey di utara New South Wales terselamat daripada banjir selepas paras Sungai Macleay yang dijangka meningkat mendadak sebelum ini, hanya berada pada paras biasa.
Perdana Menteri Australia, Julia Gillard menggesa penduduk yang terjejas berpindah segera ke tempat selamat.
Kelmarin, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas dihanyutkan arus banjir ke dalam saluran parit ketika sedang mengumpul bola golf di Kew, berhampiran Port Macquarie.
Mayat seorang lelaki pula ditemui, semalam di dalam keretanya yang ditenggelami air di sebatang jalan, kira-kira 20 kilometer ke barat laut bandar Grafton, New South Wales.
Beberapa puting beliung kecil juga dilaporkan melanda timur Sydney dan kawasan lain, menyebabkan bumbung bangunan tercabut dan pokok tumbang.
Bencana alam tersebut berlaku beberapa minggu selepas siklon tropika Oswald melanda Queensland dan New South Wales. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130225/lu_05/Banjir-kilat-di-timur-Australia#ixzz2LvKkZtae
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment