Balasan ugut emak
Nor Azuan dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu tirinya.
KUALA TERENGGANU - Hanya disebabkan kehendaknya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak dipeduli, seorang pemuda tergamak menggunakan cara kekerasan kepada ibu tirinya dengan mengugut akan membakar dan merosakkan kediaman yang menjadi tempat mereka sekeluarga berteduh selama ini.

Bagaimanapun, perbuatan Nor Azuan Mat Rani, 22, dari Kampung Padang Air, Tepoh, di sini, terbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas Nor Azuan mengaku bersalah dengan sengaja telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu tirinya, Rorheemat, 30, di sebuah kedai di Kampung Padang Air, Tepoh, di sini, pada 15 Disember tahun lalu, lebih kurang jam 2 petang.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Nor Azuan tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, semasa berada di tempat kerja, suami mangsa menerima panggilan telefon memaklumkan Nor Azuan telah mengamuk selepas tidak diberi wang yang diminta, serta mengugut ingin membakar rumah dan akan merosakkan rumah mereka di Kampung Padang Air, Tepoh, di sini.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku memandangkan sebelum ini, Nor Azuan kerap mengulangi tabiat sama mengugut akan melakukan sesuatu yang menakutkan, suami mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.