Search This Blog

Monday, February 18, 2013

'Aku dah bunuh babaku'



Oscar Pistorius menangis teresak-esak ketika dia menghubungi sahabat karibnya pada awal pagi Hari Valentine lalu, sejurus selepas teman wanitanya ditembak.

Kata Justin Divaris, Pistorius jelas panik dan berkata: “Babaku, aku dah bunuh babaku. Tuhan, ambillah nyawaku.” Kata Divaris, 27, Pistorius menghubunginya jam 3.55 pagi dan memberitahu teman wanitanya, Reeva Stennkamp, ditembak.


“Saya bertanya kepada Pistorius apa yang berlaku.

“Dia mengulang kata-katanya memberitahu berlaku kemalangan ngeri,” katanya.


Menurut Divaris, Pistorius, 26, mendakwa dia menembak Reeva. Tidak lama kemudian, kata Divaris, jiran Pistorius menghubunginya dan meyakinkan apa diberitahu atlet terbabit adalah benar.


Katanya, dia sangat terkejut dan bertanya sama ada Reeva selamat.

“Kata jiran Pistorius, Reeva dalam keadaan parah dan saya mesti segera ke sana,” katanya. Selepas memaklumkan kepada pihak berkuasa, Divaris memecut keretanya ke rumah mewah atlet digelar Blade Runner itu.


Kata Divaris, Pistorius menangis sejam di garaj rumahnya ketika polis menyiasat rumah berkenaan. Reeva, 29, sedang duduk di tandas ketika dia ditembak empat kali, masing-masing pada lengan, kepala, pinggul dan jari melalui pintu.

Pistorius mengangkat tubuh Reeva ke pintu depan dan cuba menyematkan kekasihnya dengan bantuan pernafasan.


Ketika itu juga, pengawal keselamatan dan jiran yang terdengar tembakan itu tiba ke rumah. Saksi berkata, mereka melihat Reeva menghembus nafas terakhirnya di pangkuan Pistorius.


Divaris bertanggungjawab mempertemukan Reeva dengan jaguh lumba lari berkaki palsu itu.


Katanya, dia berada bersama Pistorius kira-kira 10 minit dan bertanya apa yang berlaku.


Bagaimanapun, kata Divaris, Pistorius tidak mampu menjawabnya dan terus mengulang ratapannya.


Sementara itu, sumber lain berkata, keluarga Reeva sangat sedih dengan tragedi itu dan ibu bapa bekas model berkenaan kini dirawat akibat terkejut. Bapa Reeva, Bary Stennkamp berkata, hatinya hancur dengan kematian itu, tetapi yakin ada sesuatu yang dilalui Pistorius.


“Kami tak berdendam. Ini waktu sukar untuk kami dan kami berdoa Tuhan memberi petunjuk yang jelas,” katanya.

No comments:

Post a Comment