Search This Blog

Saturday, February 16, 2013

6 pelajar ditahan edar dadah



Petaling Jaya: Sepuluh lelaki termasuk enam pelajar kolej swasta ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dalam lima serbuan berasingan di sini, kelmarin, selepas dipercayai menganggotai satu sindiket pengedaran dadah yang mensasarkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang untuk pasaran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, turut dirampas dalam serbuan hasil risikan dan maklumat awam itu ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 7.5 kilogram bernilai kira-kira RM50,000.


Menurutnya, empat lelaki termasuk dua pelajar kolej ditahan bersama ganja seberat satu kilogram di rumah sewa mereka di Kota Damansara dalam serbuan pertama 2 Februari lalu.

“Susulan serbuan pertama membawa kepada empat lagi serbuan di Sungai Way dan Sea Park hasil soal siasat terhadap empat suspek terbabit.


“Dalam serbuan Rabu lalu, polis menahan seorang lelaki di rumahnya di Sungai Way bersama tujuh ketulan ganja seberat 6,677 gram dan turut merampas penimbang dan peralatan membungkus,” katanya pada sidang media, semalam.


Dalam serbuan kelmarin di Sea Park, Arjunaidi berkata, pihaknya menahan seorang lagi lelaki dan seorang pelajar kolej masing-masing membawa bersama ganja seberat 638 gram dan 205 gram.

No comments:

Post a Comment