Search This Blog

Saturday, February 9, 2013

100 meter air hilang



Kuala Lumpur: Lebih 100 meter air di lot kedai Kepong Entrepreneurs Park, Kepong hilang dipercayai dicuri sejak tiga minggu lalu.

Pengusaha pemprosesan makanan, Loh Kok Wai, 48, berkata, masalah itu disedari seawal jam 6 pagi beberapa hari lalu ketika pekerjanya ingin mencuci kilang.


“Pada mulanya saya tidak menyedari masalah itu dan membuka kilang seperti biasa. Bagaimanapun, sebaik keluar dari kilang, pekerja menghubungi saya dan memaklumkan tiada bekalan air di kilang.



“Apabila diperiksa kami mendapati dua meter air yang digunakan hilang menyebabkan terputus bekalan air,” katanya kepada media, di sini, semalam.


Tambahnya, sebelum ini pemilik premis di Jalan Metro Perdana Timur 6,7,8 dan 9 menghadapi masalah sama dan minggu ini, kejadian curi meter air mula berlaku di Jalan Metro Perdana Timur 10 yang menjadi lokasi premis miliknya.


“Kami cuba menghubungi Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) bagi memaklumkan perkara itu malangnya tidak diangkat menyebabkan kami datang ke pejabat SYABAS di Gombak.

“Kami difahamkan, aduan meter air dicuri atau hilang hanya boleh dibuat terus ke pejabat bagi membolehkan tindakan segera dilakukan oleh SYABAS,” katanya.


Seorang lagi mangsa, Hoong Fan Chup, 63, berkata, walaupun meter air itu dicuri bukan atas kecuaian pemilik premis, SYABAS mengenakan bayaran RM81 bagi membolehkan meter air baru dipasang.

“Bagaimana jika meter air itu dicuri lagi, adakah kami perlu membayar lagi kepada SYABAS untuk pemasangan meter baru,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pusat Khidmat Komuniti Kepong, Yee Poh Ping meminta SYABAS menambah baik pemasangan meter air bagi mengelak kejadian itu berulang.


“Sepatutnya SYABAS tidak mengenakan bayaran seperti itu kerana meter air menjadi tanggungjawab SYABAS.


“Mereka sepatutnya memasang pagar pada meter air bagi mengelakkan ia mudah dicuri.


“Malah Pengarah SYABAS Gombak memaklumkan mereka menerima beberapa aduan mengenai kehilangan meter air. Ini bermakna mereka sudah sedia maklum mengenainya dan boleh mengambil langkah penyelesaian segera,” katanya.


Selain itu, tambahnya SYABAS perlu mengkaji semula bahagian dalaman meter air yang mungkin berharga untuk pencuri menjualnya kepada peraih.


Sementara itu, Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred berkata, berdasarkan Sekyen 81 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Syabas berhak menuntut caj yang dikenakan ke atas pemasangan meter baru.


“Dalam hal ini, pemilik premis bertanggungjawab menjaga keselamatan meter air masing-masing walaupun berada di luar premis.


“Ini bermakna mereka (pemilik premis) perlu membayar RM81 termasuk caj ganti rugi pemasangan meter RM13 jika meter air hilang.


“Berdasarkan rekod, bermula 1 Januari hingga hari ini (semalam), SYABAS menerima 42 aduan meter hilang di sekitar Taman Kepong Baru, Kepong Indah, Usahawan, Daya dan Indah,” katanya.

No comments:

Post a Comment