Search This Blog

Saturday, January 5, 2013

Zarina Anjoulie akhirnya ‘bebas’ setelah dijamin



PETALING JAYA 4 Jan. - Selepas dua hari ‘meringkuk’ di Penjara Kajang, pelakon dan model kontroversi, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul (gambar) akhirnya ‘bebas’ selepas dijamin oleh adik perempuan tirinya sebanyak RM2,000, pagi ini.
Zarina, 27, yang berbaju kelabu dan berseluar merah jambu, diiringi oleh adik tirinya serta seorang lagi rakan dilihat tiba di bilik jamin Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini kira-kira pukul 10 pagi ini.
Pelakon tersebut sebelum ini terpaksa ditempatkan di Penjara Kajang dekat sini selepas ahli keluarganya terlewat hadir membayar jaminannya ketika dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Rabu lalu.
Pada 2 Januari lalu, pelakon itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dua biji pil Eramin 5 dengan berat kasar 0.6 gram bersama seorang lagi rakan lelakinya, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 27.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah No. C-3-10 Armanee Condo, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai di sini pada pukul 5.30 petang, 30 Disember lalu.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.
Majistret Nazri Omran membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 Februari ini.
Memetik laporan akhbar, pelakon yang terkenal dengan drama bersiri Anak Pontianak itu juga sebelum ini telah direman selama tiga hari selepas ditahan polis di kediaman rakannya di Damansara Damai di sini sejak 30 Disember tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130105/ma_02/Zarina-Anjoulie-akhirnya-?bebas?-setelah-dijamin#ixzz2H6SRqwWn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment