Search This Blog

Wednesday, January 30, 2013

Tukar syabu dengan garam



Hanya kerana menukar syabu kepada garam, seorang lelaki membayar harga yang mahal apabila dibelasah seorang lelaki lain sebelum koma selama tiga hari di Hospital Pulau Pinang (HPP), dan kemudian disahkan maut pagi semalam.

Mangsa berusia 37 tahun dan bekas anggota polis meninggal dunia jam 10.30 pagi ketika menerima rawatan rapi di hospital berkenaan.


Mangsa disyaki dibelasah seorang pemandu bas kilang dalam kejadian di belakang sebuah hotel di Bayan Baru, di sini, pada Sabtu lalu berikutan suspek tidak berpuas hati mengenai urusan jual beli dadah berkenaan.

Susulan itu, polis menahan suspek berusia 28 tahun yang berasal dari Balik Pulau, di sini, dan siasatan mendapati dia tidak berpuas hati kerana mangsa menukar bekalan syabu yang ingin dijualnya dengan garam.


Tindakan mangsa menyebabkan suspek berang dan dia menghentak kepala mangsa dengan senjata tumpul menyebabkan bekas anggota polis terbabit koma dalam sebuah van.


Mangsa juga masih berhutang dengan suspek RM300 dan ia menjadi antara penyebab mangsa dipukul.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, ketika ditahan supek masih di bawah pengaruh dadah dan pihaknya menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian.


“Polis turut merampas telefon bimbit suspek yang mempunyai transaksi khidmat pesanan ringkas (SMS) antara suspek dengan mangsa dan sepucuk pistol plastik yang ditemui dalam begnya. “Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine dan amphetamine dengan semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurut Mazlan, kematian mangsa menyebabkan polis menukar siasatan kes itu yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan Katanya, suspek direman hingga 1 Februari depan bagi membantu siasatan. Dalam kejadian jam 6.30 pagi Sabtu lalu, bekas anggota polis terbabit yang sudah ditamatkan perkhidmatannya sejak tiga tahun lalu ditemui koma selepas dipercayai dibelasah.


Mangsa yang kini bekerja sebagai pemandu van kilang ditemui tidak sedarkan diri akibat parah di kepala dipercayai dihentak dengan senjata tumpul dan keras sebelum dimasukkan ke HPP.

No comments:

Post a Comment