Terkejut al-Quran, telekung berselerak
Pengerusi Surau Nur Hidayah, Daud Rahim (kanan) menunjukkan al- Quran yang disusun turut terkoyak.
SUNGAI UDANG - Keheningan subuh yang sunyi di Taman Peruna, di sini, bertukar kecoh apabila jemaah Surau Nur Hidayah terkejut melihat 20 naskhah al-Quran bertaburan di atas lantai.

Malah, telekung di ruang solat wanita ditemui berselerakan selain beberapa pasu bunga di persekitaran surau berkenaan turut rosak.

Bendahari surau, Abdul Razak Othman, 56, berkata, kejadian hanya disedari kira-kira jam 5.40 pagi apabila beberapa jemaah hadir ke surau untuk menunaikan solat Subuh.

Sementara itu, Timbalan Ketua polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah berkata, siasatan awal menunjukkan tiada unsur isu perkauman boleh dikaitkan.

“Kejadian dipercayai dilakukan seorang lelaki yang dipercayai tidak siuman antara jam 1 pagi hingga sebelum subuh.

“Lelaki itu dilihat dalam keadaan mengamuk berseorangan dan dipercayai kurang siuman, kita percaya dia yang melakukannya dan pihak kami masih mengesan suspek,” katanya, semalam.